Hati-hati dakwaan individu kononnya keturunan Nabi

Hati-hati dakwaan individu kononnya keturunan Nabi Muhammad SAW

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Umat Islam di negara ini dinasihatkan berhati-hati dengan dakwaan individu tertentu kononnya berketurunan Nabi Muhammad SAW.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, individu yang mengakui berketurunan Rasulullah SAW itu juga perlu disiasat kesahihan dakwaannya sama ada melalui dokumen asli atau dengan penyaksian pihak-pihak yang boleh dipercayai.

“Memang ada keraguan, penipuan boleh berlaku di mana-mana dan dalam pelbagai bentuk dan cara termasuk dakwaan oleh individu tertentu konon dia berketurunan Nabi Muhammad.

”Pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama boleh menyiasat latar belakang individu yang mendakwa berketurunan Rasul yang mulia ini. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kedutaan Malaysia di negara individu berkenaan juga boleh diminta memberi bantuan dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular seorang individu yang mendakwa dirinya keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW hadir ke negara ini bagi menyampaikan ceramah bersempena sambutan Maulidur Rasul.

Bagaimanapun, difahamkan program individu itu gagal mendapat kelulusan beberapa jabatan agama negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan sehingga menyebabkannya terpaksa dibatalkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, umat Islam tidak boleh memberi reaksi yang tergesa-gesa dan taksub sama ada menyokong atau menolak seseorang yang mendakwa berketurunan Rasulullah SAW.

”Cuma kita perlu tahu dan faham bahawa di dalam pertimbangan Islam, keturunan yang mulia bukan kriteria bagi kemuliaan.  Seorang hamba abdi yang beriman dan taat kepada Allah SWT dan Rasul adalah lebih mulia daripada seorang berketurunan Rasul tetapi jahat dan munafik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya