RAUB: Kekurangan hasil Musang King sehingga 60 peratus pada Mei hingga Ogos lalu dijangka dapat ditampung oleh kira-kira 30,000 pekebun durian di daerah ini pada musim raja buah tersebut hujung tahun ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Tanaman Industri Daerah Raub, Nicky Koh Kuan Heng berkata, beliau menjangkakan hasil Musang King pada Disember ini meningkat dan lebih tinggi berbanding bulan sama tahun lalu.
Menurutnya, pada Disember tahun lalu, beliau memperoleh hasil jualan Musang King kira-kira RM100,000 namun tetap rugi kerana kos dibelanjakan untuk pemuliharaan kebun termasuk baja dan racun serangga RM300,000.
“Untuk Disember tahun ini, untuk kebun saya sahaja, dijangkakan hasil akan meningkat dan lebih 70 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
“Saya percaya, situasi akan turut sama melibatkan kira-kira 30,000 pekebun durian di Raub.
“Ini kerana, pekebun ketika ini berbelanja tinggi bulan Mei hingga Ogos lalu untuk racun dan baja melebihi RM200,000 sekali gus meningkatkan vitamin pada pokok dan juga tanah,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 30,000 pekebun Musang King di Raub berputih mata apabila pokok durian diusahakan mengalami kekurangan hasil sehingga lebih 60 peratus untuk Mei hingga Ogos lalu.
Punca raja buah itu tidak menjadi adalah serangan serangga jenis koya dan faktor cuaca yang tidak menentu menyebabkan bunga durian gugur.
Dianggarkan dalam tempoh tersebut 30,000 pekebun durian hanya mengumpul 100,000 tan durian berbanding musim sebelum itu kira-kira 300,000 tan.
Akibat kemerosotan itu, semua pekebun rugi dengan setiap seorang dianggarkan kerugian sekitar RM200,000 ke RM300,000 bergantung keluasan kebun yang diusahakan.
Nicky berkata, serangga koya bukan sahaja menyerang bahagian daun malah bunga dan buah durian jika ia tidak dikawal dengan sempurna.
“Serangga ini lebih gemar berada di bahagian belakang daun kerana ia dapat bersembunyi. Jika sembur racun pun kadang-kadang tidak kena di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata, jenis racun serangga yang digunakan oleh pekebun durian di situ adalah Buprofezin, Acetamiprid, Dimethoate (Zagro Chemicals S/B), White Oil dan pelekat Zilwet 80 (Zagro Chemicals S/B).
“Ia hanya racun untuk membunuh serangga dan ia tidak menjejaskan kualiti buah dihasilkan,” katanya. – UTUSAN










