KUALA LUMPUR: Harga siling minyak masak botol 5 kilogram (kg) diturunkan sebanyak RM2 iaitu daripada RM33.50 kepada RM31.50 mulai Sabtu ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga baharu itu ditetapkan susulan harga purata minyak sawit mentah yang merekodkan penurunan.
Selain itu, katanya, harga baharu minyak masak tulen kemasan botol 3 kg turun kepada RM19.90 daripada RM21.10; botol 2 kg (RM13.50 daripada RM14.30); dan botol 1 kg (RM7.10 daripada RM7.50).
“Diharapkan penetapan harga baharu ini berupaya memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Beliau dalam masa yang sama turut menyeru pengguna untuk menjadi mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan secara rasmi sebarang pelanggaran undang-undang melalui saluran disediakan. – UTUSAN