KUALA LUMPUR: Pertemuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi dipercayai hanya perjumpaan mingguan mesyuarat pra-Kabinet.
Perkara itu dimaklumkan sumber Istana Negara kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, petang ini.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada perjumpaan itu turut menyentuh perkara berkaitan pembubaran Parlimen.
“Kami tak tahu sebab pertemuan tertutup,” katanya ketika ditanya sama ada perbincangan itu berkaitan pembubaran Parlimen atau sebaliknya.
Terdahulu, kenderaan membawa Ismail Sabri meninggalkan Istana Negara selepas mengadakan perjumpaan kurang sejam bersama Seri Paduka Baginda, hari ini.
Bagaimanapun, kenderaan itu terus berlalu pergi tanpa sebarang kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri kepada hampir 50 pengamal media tempatan dan antarabangsa di sini.
Dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan isu pembubaran Parlimen akan dipersembah kepada Seri Paduka.
Menurut beliau, ini kerana ia bergantung kepada keadaan sama ada sempat atau tidak untuk dibincangkan dengan Seri Paduka dalam kunjungan rutin beliau setiap kali menjelang mesyuarat Kabinet.
Untuk rekod, mesyuarat Kabinet kebiasaannya diadakan pada Rabu dengan Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada pukul 4 petang Selasa.
Namun apabila Parlimen sedang bersidang, mesyuarat Kabinet akan dijalankan pada Jumaat dengan sesi pra-Kabinet diadakan pada pukul 4 petang Khamis. – UTUSAN










