Hanya DUN bawah BN bubar

Hanya DUN bawah BN bubar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dibubarkan susulan pembubaran Parlimen semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

DUN terlibat ialah di Perak, Perlis dan Pahang namun Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak tidak dibubarkan kerana baru sahaja mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas PRU14.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu kerana BN prihatin dengan keadaan semasa dan tidak mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibebankan dengan perbelanjaan yang tinggi jika PRN diadakan secara berasingan.

“Maka kami mengambil keputusan negeri-negeri yang berada di bawah BN tidak mengadakan PRN berasingan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-76 semalam.

Sementara itu di KELANTAN, Timbalan Menteri Besar, Datuk Nik Amar Nik Abdullah mengesahkan Pas kekal dengan keputusan untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah sehingga tamat tempoh Parlimen pada Mac tahun depan.

Di SEREMBAN, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu akan terus mendukung keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sehingga tahun depan.

Keputusan itu dibuat kerana menolak PRU diadakan dalam musim tengkujuh dan kemungkinan berlaku banjir di beberapa negeri terutama di Pantai Timur.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk mengekalkan lapan parti sebagai ‘friends of BN’ dan sedang meneliti permohonan tujuh parti berkenaan menyertainya sebagai parti teras, sekali gus menjadi calon atas tiket BN pada PRU15.

Tanpa mendedahkan nama parti berkenaan, beliau berkata, BN sedang melihat kesesuaian parti-parti yang menawarkan calon itu sebelum merumus formula dalam mencapai keputusan bersama BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya