Guru cuma diremeh bila guna saluran betul - Cikgu Fadli  - Utusan Malaysia

Guru cuma diremeh bila guna saluran betul – Cikgu Fadli 

TANGKAP layar siaran langsung Cikgu Fadli dalam Facebook.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pandangan dan suara guru didakwa cuma diremeh pegawai daripada Kementerian Pendidikan apabila menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan silibus pendidikan negara melalui saluran yang betul.

Guru di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd. Fadli Salleh mendakwa, kelemahan sistem pendidikan sudah beberapa kali disuarakan bersama-sama jalan penyelesaian kepada pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang hadir ke sekolah sebelum ini.

Malah dakwanya, beliau dan guru-guru lain juga pernah menyuarakan kebimbangan sama semasa kursus penataran yang mana guru-guru akan dipanggil berkursus apabila setiap silibus baru itu dilancarkan.

“Waktu itu (tentang) buku teks tahun 4 yang akan dilancarkan tahun berikutnya. Apabila sampai satu-satu topik, guru lain dan saya bangun (suarakan) ada yang tak berapa kena dan ada yang tak boleh diterima, tetapi pegawai PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang hadir tak boleh terima, mereka kata kita juga salah.

“Melihat hal itu mereka jemput pegawai Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) dari Putrajaya hadir di hari terakhir bengkel kami untuk jawab kegusaran dan kelemahan disampaikan dan (saya fikir) itu saluran terpaling betul yang sepatutnya mereka ambil cakna dan balik bincang, tetapi tidak.

“Mereka tetap menyalahkan cikgu kata cikgu tak pandai belajar sedangkan guru-guru yang hadir itu hebat dan berpengalaman, tetapi dipandang rendah oleh pegawai PPK,” dakwanya dalam satu rakaman secara langsung di Facebook, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd. Fadli mendakwa dirinya berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat daripada Kementerian Pendidikan dipercayai dengan alasan sering menegur berkaitan isu persekolahan.

Antara permasalahan yang dibangkitkan membabitkan silibus ‘kayangan’ tahun 1 terutamanya berkaitan subjek matematik, jadual padat dan isu beg sekolah berat.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan menyangkal dakwaan Mohd. Fadli sudah dijatuhi hukuman oleh Lembaga Tatatertib.

Ketua Pengarahnya, Datuk Pkharuddin Ghazali menjelaskan, surat yang dihantar itu bukanlah surat yang membawa maksud bahawa hukuman dijatuhkan Lembaga Tatatertib.

Sebaliknya beliau berkata, surat tersebut bertujuan memaklumkan guru berkenaan mengenai dakwaan yang diterima oleh Pihak Berkuasa Tatatertib serta keperluan untuk beliau mengemukakan representasi atau penjelasan secara bertulis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN