GTA terbuka kerjasama parti lawan UMNO

GTA terbuka kerjasama parti lawan UMNO

TUN Dr. Mahathir Mohamad ketika dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang menentang UMNO termasuk PKR.

Pengerusi Penajanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, GTA hanya bekerjasama dengan parti yang menentang UMNO dan sanggup berbuat demikian untuk menyelamatkan negara ini daripada pentadbiran parti tersebut.

“UMNO sebuah parti yang tidak sama sekali mengambil berat masalah rakyat dan mereka hanya mahu menjadi Perdana Menteri serta menjadi kerajaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat GTA di sini, semalam.

Dtanya sama ada gabungan itu mahu atau tidak bekerjasama dengan PKR pada pilihan raya umum ini, Dr. Mahathir berkata, hanya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menjawab sama ada kerjasama boleh diwujudkan.

“Soalan ini perlu diberikan kepadanya (Anwar) sama ada beliau akan bekerjasama dengan saya atau tidak. Masalahnya, beliau yang tidak mahu bekerjasama dengan saya. Saya adalah seorang yang sangat baik,” katanya.

Berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mahathir berkata, ia boleh dipertimbang.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, tindakan kerajaan membubarkan Parlimen ketika musim tengkujuh menggambarkan UMNO tidak mempedulikan masalah rakyat.

“Buat pilihan raya dalam (musim) banjir inilah cara UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan akan mempertahan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15.

“Kita juga membuat keputusan iaitu di Langkawi calonnya ialah Dr. Mahathir Mohamad.

“Tapi bukan sebagai calon bakal Perdana Menteri. Calon sebagai wakil rakyat saja,” katanya.

Menurt beliau, GTA memutuskan tidak menamakan calon bakal Perdana Menteri ketika ini kerana ia hanya relevan jika gerakan itu menang pada PRU15.

Pada PRU14, Dr. Mahathir menewaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Nawawi Ahmad serta calon Pas, Zubir Ahmad dengan majoriti 8,893 undi di kerusi tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN