Gerakan pembangunan ummah perlu nafas baharu - Sultan Nazrin

Gerakan pembangunan ummah perlu nafas baharu – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan anugerah pada sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, Perak,  hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gerakan pembangunan ummah perlu dihembus nafas baharu dengan nilai-nilai kontemporari yang memberi peluang kepada generasi muda berperanan lebih aktif dan lebih efektif.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pembangunan ummah perlu digerakkan melalui usaha yang lebih segar, berstrategi, penuh berwawasan, seiring dengan arus perubahan dan kemajuan yang kian pesat berlaku. 

Baginda bertitah, sudah menjadi sunnah, yang lama perlu diperbaharui agar kehendak dan keperluan semasa dapat dipenuhi. 

“Kita perlu berani mewasiatkan tanggungjawab lebih besar kepada tenaga muda, agar tenaga muda, berpeluang berperanan lebih aktif dan lebih efektif, menterjemah idealisme kepada realiti.

“Berkompas minda yang dahagakan pembaharuan, menyuburkan pemikiran intelek dengan daya analitis, daya kritis, daya kreatif dan daya inovatif.

“Selain mengetengahkan perspektif yang berbeza dalam menyelesaikan masalah melalui perekayasaan dan pemikiran semula kaedah-kaedah lama yang semakin usang,” titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin bertitah, tamadun Islam yang dibangunkan oleh Rasul SAW perlu diperkasa sebagai bukti kecintaan kepada Baginda.  

Titah Sultan Perak, legasi yang diwarisi daripada Baginda wajib disegarkan melalui pendekatan meremajakan gerakan pembangunan ummah dengan melibatkan penyertaan aktif lebih ramai belia. 

Baginda bertitah, golongan belia perlu diberikan kepercayaan berada di barisan hadapan, menyuntik dinamisme baharu, berperanan secara ketara sebagai pemangkin pembaharuan atau game changer.

“Golongan remaja wajib didampingi, suara golongan remaja wajib didengari, pandangan golongan remaja wajib difahami dan kehadiran golongan remaja wajib diiktiraf.

“Ini agar dapat dilaksanakan program pembangunan ummah yang lebih kontemporari dan relevan dengan keperluan dan cabaran semasa,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah,  nyatalah Rasulullah mengiktiraf golongan belia. 

Baginda bertitah, baginda yakin keupayaan para belia, lantas mengamanahkan tanggungjawab dan peranan penting pada mereka. 

“Justeru, meremajakan gerakan pembangunan ummah yang menjadi wacana pada hari ini adalah kesinambungan usaha yang pernah dilaksanakan oleh para Rasul.

“Ini berpandukan kisah mengenai peranan bermakna angkatan muda seperti yang terkandung antaranya dalam surah-surah An-Nisaa, Yunus, Yusuf, Al-Kahfi, dan Al-Anbiya,” titah baginda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya