Generasi Penamat tidak langgar hak asasi manusia - Utusan Malaysia

Generasi Penamat tidak langgar hak asasi manusia

nikotin
Tinjauan pendapat dijalankan oleh Ipsos Sweden untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) We Are Innovation baru-baru ini mendapati majoriti rakyat Sweden memilih beralih kepada Produk Alternatif Nikotin (ANP) sebagai faktor berhenti merokok atas kesedaran kesihatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan mewujudkan larangan supaya individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya daripada menggunakan produk tembakau atau disebut Generasi Penamat (GEG) tidak melanggar hak asasi dan kebebasan rakyat di negara ini.

Langkah itu juga diambil supaya Malaysia selari dengan peruntukan undang-undang antarabangsa di bawah Konvensyen Kerangka kerja Kawalan Tembakau yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) pada 2005.

Peguam Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Azlinda Baroni berkata, pelaksanaan Generasi Penamat tidak melanggar hak asasi rakyat kerana Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 disediakan Kementerian Kesihatan bersama badan perundangan negara iaitu Jabatan Peguam Negara.

Katanya, semua perkara sudah tentu diteliti dengan mengadaptasikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang terkandung dalam Akta Makanan 1983 supaya RUU kawalan tembakau ini dapat berdiri sendiri.

“Negara kita juga terlibat di peringkat antarabangsa dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak yang mana Perkara 6 sudah ditetapkan bahawa setiap kanak-kanak ada hak untuk hidup dan negara mempunyai obligasi untuk memastikan perkembangan kanak-kanak tersebut.

“Jadi adakah rokok atau produk berasaskan nikotin itu adalah sesuatu yang perlu untuk hidup? Adakah ia wajib ada untuk hidup? Kalau tidak merokok, maka kesihatan boleh rosak,” soal beliau.

Oleh itu katanya, adakah merokok dan mengambil produk tembakau merupakan keperluan hidup sedangkan realitinya ia menjejaskan kehidupan kerana boleh merosakkan kesihatan.

“Memberi kehidupan seperti diperuntukkan undang-undang itu ialah ialah mempunyai penjagaan kesihatan dan habitat untuk hidup baik dengan sempurna selain kehidupan itu menjamin individu itu mendapat ilmu pengetahuan meningkatkan kehidupan, maka itu yang kerajaan kita sejak dulu terlibat untuk menjaga kehidupan dan kesihatan,” katanya.

Lagi pula katanya, rokok dan vape difatwakan haram.

“Kenapa tidak katakan fatwa itu diskriminasi sebab halang sekumpulan orang untuk mengambil produk itu?

“Kita sebagai orang Islam wajib menjaga harta, nyawa, tubuh badan dan keturunan.

“Jadi patut elakkan kita jatuh sakit dan menyusahkan hidup sebab sudah ada bukti-bukti nyata tentang kesan merokok apatah lagi produk Vape,” katanya.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar pula berkata, tindakan kerajaan itu untuk memenuhi tanggungjawab di bawah peruntukan undang-undang antarabangsa.

Katanya, ini kerana negara sudah meratifikasi satu Konvensyen Kerangka kerja melalui Kawalan Tembakau pada tahun 2005 yang dilaksanakan WHO.

“Objektif konvensyen itu adalah untuk melindungi generasi sekarang dan akan datang daripada kesan buruk kesihatan, sosial, alam sekitar dan ekonomi akibat penggunaan dan pendedahan kepada tembakau.

“Apa yang kita buat sekarang adalah untuk melaksanakan tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.

Jelas Khairil, mana-mana pihak diingatkan untuk tidak memainkan sentimen bahawa pelaksanaan Generasi Penamat itu boleh menyebabkan semakin ramai pesalah atau penjenayah terutamanya dalam kalangan B40.

Katanya, mereka yang didenda di bawah akta berkenaan tidak dilabel sebagai penjenayah sama seperti kesalahan trafik.

“Sebelum ini kita boleh lihat sudah ada denda di zon larangan merokok. Ada orang kena denda, tetapi mereka bukan penjenayah. Konsepnya sama. Kenapa tiba-tiba bila mahu buat RUU ini dimainkan pula sentimen penjenayah?

“Kita sepatutnya kena fikir bahawa golongan B40 keadaan kewangan tidak sebaik golongan lain. Jadi wang yang dikeluarkan untuk membeli rokok atau produk tembakau itu adakah mempunyai manfaat atau tidak?

“Kalau ikhlas mahu melindungi golongan B40, bantu elakkan wang mereka digunakan untuk pembaziran. Sebaliknya guna untuk perkara lebih bermanfaat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya