PEMILIK nama Catherine Middleton atau lebih dikenali sebagai Kate Middleton tidak asing lagi dalam media global, terutamanya di Eropah.
Malah, wanita itu sudah mula menjadi sorotan media antarabangsa sejak beliau belum lagi bergelar isteri kepada Putera William, iaitu anak kepada monarki Britain baharu, Raja Charles III.
Selepas 11 tahun bergelar isteri kepada putera raja, Middleton yang sebelum ini memegang gelaran Duchess of Cambridge kini bergelar Puteri Wales, selepas suaminya dilantik sebagai Putera Wales, berikutan Charles dipilih sebagai raja ekoran kemangkatan Ratu Elizabeth II, baru-baru ini.
Sepanjang hayatnya, Middleton mungkin tidak pernah mengimpikan untuk menjadi puteri raja, namun kini beliau dilihat sebagai ‘buah hati baharu’ bagi rakyat England selepas kematian Puteri Diana.
Sebelum Middleton, Diana diberi kepercayaan untuk membawa gelaran Puteri Wales dan ternyata, impaknya sungguh besar sehingga masih ada yang terkesan sampai sekarang.
Biarpun puteri kesayangan rakyat itu sudah tiada, gelaran tersebut dianggap ‘masih keramat’ untuk Diana.
SAMAKAN MIDDLETON DENGAN DIANA
Memegang gelaran itu mungkin menjadi perkara biasa dalam sistem beraja Britain, namun bagi Middleton, gelaran itu membawa makna yang amat besar buatnya.
Beliau mengetahui pengaruh dengan William dan menjadi sebahagian daripada keluarga diraja Britain.
Maka, gelaran itu sudah tentu menjadi tanggungjawab besar yang perlu dipikulnya.
Apa yang menjadi kebimbangan Middleton adalah pelbagai pihak mula membandingkan beliau dengan mendiang ibu mentuanya.
Ada yang beranggapan, Diana satu-satunya individu yang paling layak memegang gelaran Puteri Wales dan Middleton ‘tiada langsung karakteristik yang bersesuaian dengan gelaran itu’.
DITUDUH TUMPANG POPULARITI
Pada masa yang sama, ada juga pihak berpandangan, jangan membandingkan Middleton dengan orang yang sudah meninggal dunia kerana tidak adil untuknya.
Malah, masyarakat perlu memberi peluang kepada Middleton untuk tampil sebagai Puteri Wales dengan gaya dan karisma tersendiri.
Tidak dinafikan, pengaruh mendiang ibu mentuanya sedikit sebanyak memberi kesan kepada Middleton dalam menjalani kehidupan sebagai kerabat diraja Britain.
Sudah pasti apa yang dilakukan oleh puteri itu akan dibandingkan atau disamakan dengan apa yang pernah dilakukan oleh Diana ketika hayatnya.
Middleton juga sering dituduh oleh peminat fanatik Diana bahawa beliau sering meniru gaya dan personalitinya.
Penampilan bergaya yang ditunjukkan Middleton dalam kebanyakan majlis rasmi turut dikaitkan dengan meniru Diana yang suka berfesyen.
Namun, perkara itu dibantah oleh sesetengah pihak yang berpendapat, sebagai kerabat diraja, beliau pasti akan tampil dengan gaya yang menarik, namun sopan pada masa yang sama.
Peminat fanatik Diana pula berpandangan, Middleton mungkin boleh meniru gaya fesyen mendiang ibu mentuanya, namun sesekali tidak dapat menandingi aura yang dimiliki Diana.
Ketika awal perkenalannya dengan William, Middleton berdepan beberapa persepsi negatif, antaranya dituduh cuba menumpang populariti kerabat diraja.
Namun, selepas 11 tahun berkahwin dengan William dan melahirkan tiga cahaya mata, kehadiran Middleton semakin diterima rakyat England.
YAKIN KEMAMPUANNYA
Sementara itu, rakyat England juga yakin dengan kemampuan Middleton untuk menjadi ratu Britain suatu hari nanti.
Malah, ada yang berpandangan, Middleton boleh menjadi individu yang membawa ‘hasrat Diana’ untuk bergelar ratu Britain.
Media Britain juga sering melaporkan Middleton semakin ‘pakar dalam hal ehwal diraja’ dan yakin beliau akan menjadi isteri pemimpin yang berwibawa.
KENALI KATE MIDDLETON
Beliau dilahirkan di Reading, England pada 9 Januari 1982 dan merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
Beliau pernah menetap di Amman, Jordan ketika bapanya berkhidmat dengan syarikat penerbangan British Airways.
Middleton mula berkenalan dengan William ketika melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah di Universiti St Andrews di Scotland pada 2001.
Pasangan itu berkenalan selama tujuh tahun sebelum mengikat tali pertunangan pada 2010 dan melangsungkan perkahwinan 29 April 2011 di Westminster Abbey.
William dan Middleton dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis.










