Feri penumpang ke Langkawi kandas di beting lumpur

Feri penumpang ke Langkawi kandas di beting lumpur

FERI penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi yang terkandas di beting lumpur di Kuala Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Sebuah feri membawa seramai 545 penumpang  terkandas di alur pelayaran Kuala Kedah, di sini sejak kira-kira pukul 3 petang ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, setakat pukul 6 petang ini pihaknya masih menunggu laporan bertulis daripada kapten Feri Bahagia 98 yang terkandas itu.

Katanya, berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku ketika air laut berada pada paras 1.7 meter iaitu paras yang masih selamat untuk pelayaran.

“Banyak faktor boleh menyebabkan kejadian itu antaranya feri tidak mengikut laluan asal atau laluan tersebut dihalang oleh kerja-kerja pengerukan laut yang sedang dilaksanakan.

“Kami masih menanti laporan lanjut mengenai kejadian itu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada Utusan Online di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Bomba Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.55 petang tadi.

Setiba di lokasi, katanya, pihaknya mendapati feri yang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi itu tersadai di beting lumpur dan tidak dapat bergerak.

“Ketika ini kami bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Laut dan nelayan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN