DUN Pahang bubar hari ini

DUN Pahang bubar hari ini

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 dibubarkan pada sidang media khas di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang menjadi DUN pertama yang dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setelah pembubaran Parlimen, 10 Oktober lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau pada Rabu lalu telah menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk memohon limpah perkenan baginda bagi pembubaran DUN ke-14.

Sehubungan itu katanya, selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Pemangku Raja Pahang telah berkenan agar DUN Pahang Ke-14 dibubarkan berkuatkuasa hari ini.

Jelasnya, pembubaran ini. bagi membolehkan PRN dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) di peringkat Persekutuan.

“Tarikh ini dipilih, bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan Bajet 2023 Pahang disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Segala ini dilakukan demi kepentingan rakyat, kerana sebahagian besar intipati bajet ini adalah berkisar tentang usaha membantu setiap lapisan rakyat di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar khas di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Wan Rosdy berkata, biarpun penggal ini masih berbaki beberapa bulan lagi, ketetapan untuk membubarkan DUN Pahang Ke-14 dan seterusnya menyertai PRU-15, bersama-sama dengan kerajaan Persekutuan, diambil bersandarkan kepada beberapa keperluan.

“Pertama, mengelakkan proses dan musim pilihan raya yang berulang-ulang dalam tempoh yang singkat. Ini kerana, kurang setahun dari sekarang, penggal ini akan berakhir dan pilihan raya mesti diadakan. Sekiranya Pahang tidak menyertai PRU15 sekarang, ia hanya akan menyebabkan kita terpaksa melalui proses pilihan raya sekali lagi di peringkat negeri kelak.

“Perkara ini sudah pasti memerlukan penggunaan sumber tenaga, masa dan fokus yang tinggi, dan ia boleh dielakkan sama sekali, jika Pahang menyertai PRU15 bersama-sama kerajaan Persekutuan sekarang.

“Kedua, negeri Pahang memilih untuk turut serta dalam PRU15 bersama-sama dengan kerajaan Persekutuan, kerana pilihan raya yang dijalankan secara serentak berupaya menjimatkan kos dalam pelbagai aspek, seperti pengurusan dan pengendalian pilihan raya,” katanya. 

Ketiga, katanya, permulaan dan pengakhiran penggal yang selari antara kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan akan melancarkan pelbagai urusan pentadbiran antara kedua-dua pihak.

“Ini sekali gus membolehkan kerajaan Negeri memberi fokus kepada agenda pengurusan dan pembangunan negeri dengan lebih berkesan,” katanya.  –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya