Dua remaja mengaku tidak bersalah rogol gadis 14 tahun - Utusan Malaysia

Dua remaja mengaku tidak bersalah rogol gadis 14 tahun

DUA tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 14 tahun di Tawang, Bachok pada Ogos dan September lalu.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama didakwa atas dua pertuduhan iaitu merogol remaja terbabit.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah bilik di kedai makan dekat Tawang kira-kira pukul 1.15 pagi pada pertengahan Ogos dan 1.45 pagi pada minggu kelima September lalu.

Bagi tertuduh kedua, remaja itu didakwa merogol mangsa yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh pertama kerana melakukan kesalahan serius.

Bagaimanapun, Abu Arsalnaa mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh pertama diikat jamin manakala tertuduh kedua dibenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu mengikut syarat tambahan yang dicadangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Mahkamah turut menetapkan 23 November depan untuk sebutan semula kes.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lapan orang remaja ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang gadis berusia 14 tahun di Tawang di sini baru-baru ini.

Perintah reman yang bermula Selasa lalu sehingga semalam itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi di Mahkamah Majistret Bachok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN