Diskaun khas pembayar pinjaman PTPTN bakal diumum- PM

Diskaun khas pembayar pinjaman PTPTN bakal diumum- PM

ISMAIL SABRI Yaakob bergambar bersama para pelajar pada sesi dialog anak muda sewaktu Majlis Perasmian Idea Bina Negara IBN 2022 di Dewan Tuanku Canselor UITM, Shah Alam, Selangor pada hari ini. UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Pemberian diskaun khas bagi pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan diumumkan kerajaan dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan meringankan beban golongan belia terutama penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

“Kita (kerajaan) akan menyediakan potongan diskaun kepada pembayar atau peminjam PTPTN.

“Ia meliputi pembayaran balik pinjaman bagi kategori tertentu dan ia akan diumumkan nanti,” katanya pada Sesi Dialog Awam sempena pelancaran Idea Bina Negara (IBN) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan berkaitan isu kenaikan kos sara hidup yang turut ditanggung golongan mahasiswa ketika ini.

Jelas Ismail Sabri, pinjaman PTPTN juga tidak perlu dibayar bagi semua golongan yang memperoleh keputusan kelas pertama pengajian mereka.

“Ia tidak hanya diberikan kepada golongan B40 malah kepada M40 dan T20.

“Selain itu, kita juga akan mempunyai tajuk khusus untuk anak-anak muda pada pembentangan Bajet 2023 nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin 600,000 peluang pekerjaan disediakan kerajaan bagi belia dapat dipenuhi menjelang hujung tahun ini.

“Sehingga kini, kira-kira 400,000 golongan muda sudah mendapat pekerjaan dan menurunkan kadar penggangguran kepada 3.7 peratus.

“Kita turut sudah menyediakan pelbagai inisiatif dan peruntukan bagi pelaksanaan program khas seperti Karnival Kerjaya JaminKerja dan MyStep,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat terutama melibatkan mahasiswa IPT.

“Kita menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan menu Keluarga Malaysia dengan maksimum makanan hanya RM3.50.

“Selain itu, Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diperluaskan di kampus seluruh negara bermula bulan ini dan pemberian terus Peranti Siswa kepada mahasiswa,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya