GEORGE TOWN: Polis menahan empat individu termasuk sepasang kekasih yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam beberapa serbuan di daerah Timur Laut, di sini 28 September lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, menerusi penahanan empat suspek berusia 23 hingga 34 tahun itu, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam bentuk pelbagai perisa serbuk minuman yang mengandungi dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA).
Katanya, dadah jenis itu dipercayai dibekalkan di pusat-pusat hiburan di sekitar negeri ini dengan harga RM150 hingga RM250 sebungkus.
“Polis telah melakukan tiga serbuan di lokasi berbeza dan merampas MDMA 3,150 gram, ketamin (57.33 gram), pil ekstasi (123 biji) dan pil eramin 5 (enam biji) yang kesemuanya bernilai RM168,034,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, polis bertindak menyerbu sebuah kondominium di Jelutong dekat sini, pukul 2.30 petang dan menahan sepasang kekasih.
”Suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun serta wanita warga asing berumur 29 tahun dan polis merampas 65 gram MDMA dan enam biji pil eramin 5.
“Kemudian pihak polis menyerbu sebuah lagi kondominium di Pengkalan Weld, di sini dan menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dan merampas 131 bungkusan pelbagai perisa serbuk minuman yang dicampur dengan dadah MDMA seberat 3.085 gram dan ketamin (22 gram),” katanya.
Soffian berkata, dengan penangkapan suspek-suspek itu, polis berjaya mengesan seorang lagi ahli sindiket itu di Jalan Tunku Kudin 2, Gelugor di sini.
“Suspek ketika itu sedang memandu sebuah kereta jenis Nissan Almera dan ketika polis mahu menjalankan pemeriksaan ke atasnya suspek bertindak memecut dan memandu kereta secara berbahaya.
”Polis mengejar kereta suspek kira-kira lapan kilometer dan bertindak melepaskan tembakan sebanyak tujuh das ke arah tayar kenderaan suspek bagi memberhentikannya.
“Hasil pemeriksan ke atas suspek, polis menemui 123 biji pil ekstasi dan 10 peket ketamin mengandungi sebanyak 35.33 gram,” katanya.
Tambahnya, siasatan mendapati suspek berperanan membekalkan semua dadah kepada ahli sindiket lain sebelum mencampurkan dalam pelbagai minuman berperisa.
“Kita dapati modus operandi sindiket ini ialah mereka menjalankan kegiatan penjualan dadah menerusi aplikasi WeChat dan berdasarkan maklumat, sindiket ini bergiat aktif sejak Jun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, polis turut menyita wang tunai sebanyak RM1,150 dan menyita dua buah kenderaan bernilai RM128,000.
”Tiga daripada suspek adalah penganggur manakala seorang lagi bekerja sebagai pemandu e-hailling dan kesemua mereka direman hingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. –UTUSAN