Curahan hujan meningkat Oktober, risiko sebabkan banjir kilat

Curahan hujan meningkat Oktober, risiko sebabkan banjir kilat

HUJAN berterusan dijangka berlaku di selatan Semenanjung dan utara Sabah ekoran luruan monsun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar curahan hujan diramal meningkat bulan ini berbanding bulan lain dan berisiko menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Ia susulan laporan tinjauan cuaca yang dilaksanakan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pada bulan ini yang menjangkakan kebanyakan negeri di Semenanjung menerima taburan hujan pada paras purata di antara 150mm hingga 450mm.

Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Fredolin Tangang berkata, tinjauan cuaca itu kerana negara ketika ini berada pada fasa peralihan monsun yang mana ia menyebabkan banyak hujan diterima di sebelah kawasan Pantai Barat terutama pada lewat petang dan malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, peningkatan taburan hujan itu berkemungkinan tinggi menyebabkan banjir kilat terutama di kawasan rendah di Pantai Barat.

“April, Mei, September dan Oktober adalah fasa peralihan monsun. Oleh itu, apabila dilihat kitaran tahunan hujan, sememangnya tempoh (April, Mei, September dan Oktober) itu memang tinggi (kadar curahan hujan).

“Ini kerana, apabila berlaku fasa peralihan monsun, angin tidak berapa kuat dan tentu arah yang menyediakan keadaan dimana sistem perolakan dengan kelembapan haba tinggi menyediakan menyediakan keadaan lebih sesuai untuk perolakan tempatan,

“Contoh di Kuala Lumpur yang sudah seperti Pulau Haba menyediakan keadaan sesuai untuk perolakan dan pembentukan ribut petir terutama pada waktu petang dan malam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, dalam laporan yang dikeluarkan Met Malaysia itu, Selatan Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka bagaimanapun dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 100mm hingga 200mm.

Di Sarawak, keadaan hujan dijangka pada paras purata iaitu antara 250mm hingga 350 mm, manakala kebanyakan tempat di Sabah dijangka menerima taburan hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 400mm dengan Labuan pula dijangka menerima jumlah hujan pada paras purata di antara 400mm hingga 500mm.

Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) dalam satu hantaran media sosialnya memaklumkan, Pusat Hidrografi Nasional meramalkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku di lima tempat membabitkan kawasan di Kedah, Perak, Selangor dan Johor.

Menurut perkongsian itu, fenomen itu dijangka berlaku selama tujuh hari bermula sehingga 13 Oktober ini.

Dalam perkongsian itu, lima kawasan terbabit adalah Kuala Muda, Bagan Datuk, Pelabuhan Klang, Batu Pahat dan Pontian.

Jelas perkongsian itu, fenomena itu berpunca daripada pengaruh daya tarikan graviti ketika kedudukan bulan dan matahari sejajar, seterusnya berkemungkinan menyebabkan limpahan air di daratan serta banjir di lokaliti kawasan rendah pesisir pantai.

Justeru, Nadma meminta penduduk berhampiran pesisir pantai disaran agar lebih peka dan berwaspada berdepan semasa fenomena ini berlaku. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×