PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) yakin gabungan itu dapat membentuk kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dibantu dengan sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu sudah dipersetujui dalam satu pertemuan kedua-dua gabungan sebelum ini.
Beliau berkata, meskipun tidak mempunyai sebarang perjanjian, namun GPS menghargai sikap terbuka BN untuk tidak bertanding di 31 Parlimen negeri Sarawak pada PRU15 nanti.
Katanya, ini kerana lambang dacing masih sinonim dengan penduduk bumi kenyalang itu yang mungkin boleh mengakibatkan perpecahan undi sekali gus menyukarkan kemenangan GPS.
“Pimpinan kami temui pimpinan GPS dan dalam pertemuan itu mereka tidak menolak cadangan GPS bersama (BN) asalkan pihak kami dominan. Itu sebab kami perlu menang 112 kerusi kemudian jemput bersama GPS.
“GPS menghargai kerana kami tidak membawa logo BN di Sarawak dalam PRU15, jadi sebab itu BN hanya bertanding 191 kerusi.
“BN sasar 112 kerusi, GPS sasar 25 kerusi, (maka) tentunya boleh bentuk kerajaan kuat,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara ‘Sembang PRU15’ bersama Media Mulia TV (MMTV) secara dalam talian.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya juga tidak menolak indikator bersama GPS itu juga menjadi kelebihan buat BN berbanding Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
“Kami tidak mahu mengganggu ketenteraman dan keharmonian di Sarawak, (jadi) ini satu kelebihan kepada BN dalam konteks mencari rakan kerjasama selepas pilihan raya umum,” jelasnya. – UTUSAN