Belum pasti nak bawa atau tidak kepada Agong - PM

Bubar Parlimen: Belum pasti nak bawa atau tidak kepada Agong – PM

ISMAIL Sabri Yaakob ketika ditemui pemberita di Kementerian Kewangan bagi meninjau persiapan perbentangan Bajet 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan isu pembubaran Parlimen akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang ini. 

Beliau berkata, ia bergantung kepada keadaan sama ada sempat atau tidak untuk dibincangkan dengan Seri Paduka dalam kunjungan rutin beliau setiap kali menjelang mesyuarat Kabinet.

“Saya memang menghadap setiap minggu Agong untuk pra-Kabinet bagi mempersembah kepada Baginda tentang apa yang nak dibincangkan dalam Kabinet atau Agong nak bagi pesanan kepada Kabinet dan sebagainya. Memang saya sentiasa jumpa dan menghadap satu hari sebelum Kabinet.

“Kalau hari biasa mesyuarat Kabinet pada Rabu, saya akan jumpa pukul 4 petang Selasa. (Tetapi) apabila Parlimen bersidang, Kabinet bermesyuarat Jumaat. Jadi saya menghadap Agong Khamis petang pukul 4 petang hari ini. Jadi apa perbincangan kita lebih kepada mesyuarat Kabinet, saya bentang secara ringkas dan Agong akan tanya kalau ada yang ingin penjelasan. 

“Jadi tak pasti lagi nak bawa ke tidak (pembubaran Parlimen). Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat sampai Maghrib, jadi (perbincangan) mengenai Kabinet sahaja lah. Kalau tak sempat lah bincang hal lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan pembubaran Parlimen diserahkan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong kerana kuasa Agong tidak boleh dicabar dan Seri Paduka mempunyai kuasa budi bicara sepenuhnya berdasarkan perkara 40(2)B dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, kata beliau, sesiapa sahaja berhak memberikan pandangan termasuk Perdana Menteri, tetapi kuasa pemutus adalah Agong.

“Jadi kalau mereka nak tulis surat ke, nak buat kenyataan akhbar ke, itu boleh dan bebas tetapi akhirnya kuasa Agong,” katanya mengulas mengenai tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak diadakan pada tahun ini. 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan pembentangan Bajet 2023 tidak dibentangkan esok, Perdana Menteri berkata: 

“Tunggu esoklah. Kalau saya sebut sudah tidak ada kejutan kalau saya cakap hari ini. Jadi esok tunggu, sebab macam-macam spekulasi. 

“Ada kata bentang ada kata tak bentang, lebih baik spekulasi itu diteruskan sampai esok baru tahu jawapan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN