Bekas Pengarah JAKOA didenda RM5,000 mengaku palsukan dokumen

Bekas Pengarah JAKOA didenda RM5,000 mengaku palsukan dokumen

MOHD. Irwan Redzuan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN M. AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua individu termasuk bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan dan Melaka dijatuhi hukuman denda di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan majlis makan berjumlah RM13,200, enam tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohd. Irwan Redzuan Abdullah, 45, dan Haslin Abdul Razak, 47, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Tertuduh pertama, Mohd. Irwan yang merupakan bekas pemilik syarikat Salju Asli Enterprise dijatuhi hukuman denda RM8,000.

Tertuduh kedua, iaitu Haslin yang merupakan bekas Pengarah JAKOA Negeri Sembilan dan Melaka dienda RM5,000.

Sekiranya gagal membayar denda, kedua-dua tertuduh masing-masing boleh dikenalan penjara lima dan empat bulan. Bagaimanapun, mereka membayar denda tersebut. 

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois Salju Asli Enterprise nombor SA2016/10 untuk tuntutan perkhidmatan makan dan minum sempena Majlis Ramah Mesra Pengarah JAKOA bersama penduduk Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah yang mana mereka mempunyai sebab mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat JAKOA Negeri Sembilan/Melaka di sini pada 6 Disember 2016. Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Terdahulu, dalam prosiding kes, Mohd. Irwan yang diwakili peguam Iszam Ismail memohon hukuman yang ringan atas alasan dia kini hanya bekerja sebagai penoreh getah selepas syarikat ditutup dan menyara lima anak berusia empat hingga 22 tahun.

Sementara itu, Haslin yang diwakili peguam Abdul Hamid Manon Abdullah memohon hukuman ringan atas alasan mempunyai empat anak yang masih kecil dan bersekolah serta sepanjang berkhidmat telah bertugas dengan cemerlang.

Mahkamah menetapkan wang RM13,200 milik Kelab Sukan dan Kebajikan JAKOA dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia melalui Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya