Bekas bendahari koperasi didenda RM8,000 palsukan dokumen

Bekas bendahari koperasi didenda RM8,000 palsukan dokumen

M. Santhi hadir di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memalsukan dokumen pada 2016. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas bendahari sebuah koperasi dijatuhi hukuman denda RM8,000 di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas pertuduhan memalsukan tiga dokumen pelaporan akhir program Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (Sedic), tujuh tahun lalu.

Hakim, Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, M. Santhi, 57, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. Mahkamah turut menetapkan supaya wanita itu dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Bendahari Koperasi Global and National Skill Development Seremban Berhad (GNSDC) didakwa dengan niat curangnya  menggunakan sebagai tulen tiga dokumen iaitu Invois Shanvi Management & Trading  untuk pelaporan akhir program Sedic yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat koperasi GNSDS di Jalan Rasah di sini, pada Oktober 2015 dan Oktober 2016. Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya. Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam M.Dinesh memohon hukuman yang ringan dan memberitahu anak guamnya telah insaf.

“Pengakuan bersalah telah menjimatkan masa dan kos mahkamah, malah sejak dituduh pada 2020 dia tidak pernah gagal hadir. Sekarang tertuduh tidak lagi bekerja hanya menjaga cucu dan anaknya kini berada di Singapura,” katanya.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN