MELAKA: Bank Rakyat komited memainkan peranan dalam menyampaikan ilmu kewangan kepada generasi muda, seiring aspirasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempertingkat tahap kemahiran kewangan pengguna.
Ketua Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan Bank Rakyat, Mazlan Mohamad berkata, hal ini kerana Jabatan Insolvensi melaporkan kes muflis semakin meningkat saban tahun.
Beliau berkata, data menunjukkan sejak 2017 sehingga Jun 2021, sebanyak 23.63 peratus individu muflis adalah mereka yang berusia di bawah 34 tahun.
“Menurut laporan Program Pengurusan Kredit (PPK) kekurangan pengetahuan dan perancangan kewangan yang lemah dalam masyarakat, terutama generasi muda menjadi faktor utama berlakunya muflis.
“Pengetahuan kewangan bukan ilmu yang boleh disampai menerusi suatu kursus atau ceramah, sebaliknya mesti diterapkan dalam diri seseorang sejak kecil lagi.
“Menerusi Program Nuri Kuasa 10, ia turut merangkumi inisiatif lain seperti Jom Menabung Kuasa 10, Karnival Nuri dan Impian Nuri Kuasa 10 dengan menawarkan pelbagai hadiah yang lumayan dan menarik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Nuri Kuasa 10 di Jeti Taman Rempah, Pengkalan Rama di sini hari ini.
Program Nuri Kuasa 10 bermula dari 1 Oktober 2022 hingga 31 Januari 2023 sebagai usaha meningkatkan literasi atau celik kewangan dalam kalangan kanak-kanak.
Bank Rakyat mengetengahkan konsep menabung sebagai satu tabiat rutin tanpa tekanan apabila menyimpan wang.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, di Melaka sebanyak empat sekolah rendah terlibat dengan program berkenaan yang mana aktiviti utama adalah pertandingan mewarna di atas Bot Melaka River Cruise.
Beliau berkata, seramai 80 murid terlibat dalam pertandingan tersebut iaitu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Alai, SK Methodist Melaka, SK Jasin dan SK Bendahara Seri Maharaja.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Jelajah Nuri Kuasa 10 yang akan menganjurkan program di 10 buah lokasi di seluruh negara, menerapkan unsur ’10’ dalam setiap aktiviti yang dianjurkan.
“Istimewa sempena Nuri Kuasa 10 ini, Bank Rakyat turut menawarkan promosi istimewa iaitu RM10 bagi pembukaan Akaun Simpanan-i dan 10 sen bagi yuran keanggotaan Kelab Nuri,” jelasnya. – UTUSAN