Banjir terburuk di Chepor

Banjir terburuk di Chepor

PENDUDUK membersihkan rumah yang dilanda banjir kelmarin ketika tinjauan di RPT Chepor di Ipoh, semalam. –UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mangsa banjir kilat di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor di sini kelmarin menyifatkan kejadian itu yang terburuk yang berlaku dalam tempoh lebih 30 tahun tinggal di kawasan tersebut.

Seorang pekerja membaiki barangan terpakai, Shahrul Affandi Sharudin, 36, berkata, kejadian kelmarin terlalu cepat apabila hujan lebat menyebabkan air Sungai Chepor melimpah hingga ke kawasan penempatan itu.

Katanya, hujan bermula pada pukul 6 petang dan kawasan kampung itu dinaiki air pada pukul 8 malam sehingga paras dada.
“Ketika hujan lebat, saya dan seorang rakan berada di dalam stor membaiki barangan ini dan hanya menyedari banjir apabila emak memanggil saya supaya menutup satu saluran longkang bagi menyekat air sungai daripada masuk ke kawasan rumah.

“Biasanya kalau hujan, saluran longkang itu perlu ditutup tetapi kali ini air naik terlalu cepat dan saluran longkang itu tak mampu menyekat aliran air yang deras.

“Dalam masa hanya setengah jam, air sungai melimpah hingga ke kawasan stor saya dan saya tak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan barangan dalam stor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, ketika air naik, dia tidak memikirkan soal pera­latan rumah milik pelanggan yang disedang diperbaiki, sebaliknya bergegas bersama rakan-rakannya menyelamatkan beberapa warga emas daripada banjir.

Katanya, kawasan berdekatan stor milinya terdapat antara dua hingga tiga warga emas yang tidak mampu berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda.

“Saya dan rakan-rakan meng­angkat warga emas yang berkerusi roda ke tempat selamat.

“Pada masa itu saya tak fikir soal harta benda yang memang sudah tak boleh diselamatkan, hanya hanya fikir warga emas yang tak mampu berjalan, sekarang saya tinggal sehelai sepinggang, baju ini pun sudah tiga hari tidak bertukar,” katanya.

Menurutnya, akibat banjir dia menganggarkan kerugian antara RM30,000 hingga RM40,000 apabila peralatan rumah pelanggan yang diperbaikinya rosak dan ada yang tidak boleh diperbaiki lagi.

“Contohnya, perabot pelanggan yang sudah siap perlu diperbaiki semula, peralatan mesin seperti mesin basuh sudah tak boleh diperbaiki,” katanya.

Menurutnya, ini pertama kali banjir terburuk di kawasan itu yang pernah dialaminya yang dipercayai akibat Sungai Chepor yang tidak mampu menampung aliran air. “Kawasan ini memang selalu banjir jika hujan lebat tetapi sebelum ini tidaklah seteruk ini,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN