Bajet 2023 ‘terputus-putus’, sekadar memenuhi habuan - Utusan Malaysia

Bajet 2023 ‘terputus-putus’, sekadar memenuhi habuan

PAKAR ekonomi mendapati Bajet 2023 tidak begitu jelas khususnya dalam penekanan kepada matlamat yang ingin dicapai terhadap beberapa kelompok termasuk Orang Asli. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bajet 2023 disifatkan sebagai terputus-putus manakala kandungannya tidak jelas termasuk penerangan untuk golongan sasar seperti wanita, belia serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Sarjana Fulbright di Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS) yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, semua pihak sekadar mencari habuan masing-masing melalui bajet kali ini.

“Semua mencari habuan masing-masing, apa kita dapat tahun ini?’ Secara keseluruhan apa yang disenaraikan ialah apa yang akan diberi oleh kerajaan. Malang sekali kerana ini bukanlah sepatutnya matlamat bajet tahunan.

“Apa matlamat yang ingin dicapai bagi golongan wanita? Golongan belia dan Orang Asli? PMKS? Kemajuan teknologi dan inovasi? Tidak jelas. Penerangan harus diberikan,” katanya di sini semalam.

Katanya, bajet kali ini juga tidak mempunyai banyak makna dan tiada tema khusus.

“Bila teks terlalu panjang, mesej utamanya mencair dan kabur. Apa yang menjadi fokus dan matlamat yang ingin dicapai tahun berikutnya hilang,” katanya.

Noor Azlan berkata, bajet kali ini sekadar memberi keselesaan kepada menteri dan kementerian yang disebut dalam pembentangan sedangkan pemahaman rakyat terhadap pengisiannya jauh menyimpang.

“Syarat utama, seolah-olah, seberapa boleh semua kementerian, semua kategori masyarakat, semua kumpulan etnik utama, semua wilayah, semua sektor ekonomi, beberapa pekerjaan utama rakyat, beberapa sektor utama perkhidmatan awam. Mungkin memberi rasa keselesaan kepada para menteri, kementerian kita disebut, atau setidak-tidaknya membolehkan jurukamera mencuri posing mereka, ‘on air’.

“Akibatnya, perincian bajet menjadi ‘terputus-putus’, tiada mesej dan matlamat yang khusus, tidak jelas apa isu pokok atau cabaran utama yang penting ditangani untuk tahun yang berkaitan.

“Legasi ini semakin parah, rakyat dan industri juga turut terpengaruh. Kalau tak disebut ‘sektor/pekerjaan saya’, maka bajet ini tidak baik, kerajaan lupakan kita. Pernah saya dengar ada yang mengeluh, ‘kementerian kita itu saja?’ Pemahaman rakyat mengenai bajet tahunan semakin menyimpang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN