Bajet 2023 perlu dibentang elak ekonomi, kerajaan terjejas

Bajet 2023 perlu dibentang elak ekonomi, kerajaan terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bajet 2023 yang dijadual dibentang di Parlimen hari ini perlu dikemuka dan diluluskan walaupun berdepan kemungkinan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Jika tidak dibentangkan, bayaran emolumen serta perbelanjaan lain yang diperuntukkan dalam perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi setiap kementerian, jabatan, agensi kerajaan akan terjejas dan mengalami kelewatan.

Laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2022 yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan menunjukkan, dianggarkan sebanyak RM311.1 bilion dibelanjakan meliputi RM233.5 bilion perbelanjaan mengurus manakala RM77.6 bilion lagi digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Malah laporan tersebut turut mendedahkan, anggaran perbelanjaan Persekutuan bagi 2021 adalah sebanyak RM307.495 bilion, diikuti dengan RM276.434 bilion perbelanjaan sebenar pada 2020 dan RM318.587 bilion dibelanjakan pada 2019.

Justeru, pensyarah ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menyifatkan, Bajet 2023 tidak boleh ditangguhkan lagi kerana ia bukan sahaja akan melicinkan pentadbiran kerajaan tetapi juga membantu negara keluar daripada ketidakstabilan ekonomi, serta membantu golongan memerlukan ketika ini.

Katanya, Bajet 2023 sepatutnya dianggap sama penting dengan PRU15, kerana kedua-duanya mempunyai peranan dalam menstabilkan politik dan ekonomi negara.

“Ia mempunyai kesan besar kepada pelbagai pihak terutama dalam merancakkan semula ekonomi negara, menaikkan lagi keyakinan pelabur serta membentuk hala tuju negara sepanjang tahun hadapan.

“Rakyat masih tertanya-tanya apa usaha kerajaan pada masa akan datang dalam menstabilkan ekonomi serta kesan kejatuhan nilai ringgit, jadi jangan mainkan perasaan rakyat, Bajet 2023 perlu diteruskan sampai diluluskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali pula menyifatkan, jika Bajet 2023 tidak dibentangkan, ia akan merencatkan pelbagai urusan kerajaan termasuk pembayaran gaji kakitangan awam serta dana yang diperlukan untuk mengadakan program melibatkan rakyat.

“Kalau Parlimen bubar dan tidak bentang bajet, akan ada banyak benda yang tertangguh, sebab itu Bajet 2023 perlu dibentangkan,” katanya.

Dalam pada itu, geostrategis Prof. Dr. Azmi Hassan menjelaskan, Bajet 2023 tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana ia diperlukan bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa.

“Bajet 2023 adalah sebahagian daripada strategi untuk menghadapi inflasi tahun depan. Sebab itu, bajet kali ini mesti diluluskan, malah bajet alternatif perlu ditawarkan oleh semua pihak yang mahu membentuk kerajaan,” katanya.

Seorang lagi pensyarah ekonomi, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula mahu Bajet 2023 dibentangkan selewat-lewatnya November ini jika Parlimen dibubarkan.

“Ini supaya tidak berlaku penangguhan perancangan untuk tahun depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN