Bajet 2023 bantu usahawan wanita jana ekonomi keluarga

Bajet 2023 bantu usahawan wanita jana ekonomi keluarga

bajet 2023
Aidawaty Abdullah (dua kiri) bersama rakan sekerja menonton siaran langsung pembentangan Bajet 2023 di kedai keropok miliknya di Sungai Rengas, Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bajet 2023 disifatkan sebagai mesra wanita kerana pelbagai inisiatif diberikan kepada mereka merangkumi pelbagai aspek termasuk untuk usahawan, yang bekerja dan juga ibu serta surirumah.

Pengerusi Usahanita Bumiputra Terengganu, Che Rohaya Abd. Wahab berkata, pemberian dana pembiayaan sebanyak RM235 juta untuk usahawan wanita misalnya mampu memperkasakan lagi golongan berkenaan dalam menjana ekonomi keluarga dan negara.

“Khabar gembira ini seolah-olah memberi sinar baharu buat usahawan wanita untuk bangkit mengorak langkah agar lebih berdaya saing dan bersemangat selepas melalui pelbagai keperitan semasa pandemik Covid-19 lalu.

“Dengan pemberian dana itu, saya yakin lebih ramai kaum hawa akan bergelar usahawan dan peniaga,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Azizl ketika membentangkan Bajet 2023 memberitahu, kerajaan menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM235 juta bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran mereka.

Katanya, dana pembiayaan itu boleh didapati menerusi beberapa skim seperti Semarak-Nita Bank Simpanan Nasional (BSN), Tekunita Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Dananita Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Bizlady Bank Rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Usahawan Wanita Kuala Lumpur, Noridah Abdullah berharap kerajaan dapat melonggarkan syarat pemberian dana pembiayaan usahawan bagi membolehkan lebih ramai daripada kalangan mereka menerima manfaat itu.

“Kerisauan saya ialah usahawan yang sudah lama berkecimpung dalam bidang perniagaan mungkin terlepas bantuan itu kerana rekod pembayaran pinjaman mereka yang tidak cantik bagi memohon dana tersebut.

“Saya berharap kerajaan dapat melonggarkan syarat kerana sebelum ini kebanyakan usahawan sudah terbeban akibat Covid-19 hingga gagal melunaskan pinjaman terdahulu, jadi berilah peluang kepada kami untuk menerima bantuan baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN