KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Bajet 2023 sebagai persediaan untuk membantu negara berdepan dengan ekonomi tidak menentu pada 2023.
Perdana Menteri berkata, persediaan itu boleh dilihat menerusi pelbagai bentuk peruntukan bagi memastikan setiap kumpulan sasar mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan.
Katanya, bajet itu juga memastikan pemulihan ekonomi negara terus berada dalam landasan terbaik.
“Sesuai dengan tema Keluarga Malaysia, Makmur Bersama, kalau kita lihat bajet ini menumpukan kepada seluruh Keluarga Malaysia seperti B40 dan M40 serta golongan tertentu, wanita dan belia. Peruntukan ini diberi berdasarkan kepada setiap kumpulan.
“Malah dari segi pembangunan luar bandar, bandar dan sebagainya, bajet ini juga menumpukan kepada pemulihan ekonomi dan juga menyediakan kita, kesediaan kita untuk menghadapi keadaan ekonomi yang agak tidak menentu pada tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas mengenai Bajet 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion bagi tahun 2023.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan itu merupakan peningkatan ketara berbanding peruntukan Bajet 2022 iaitu RM332 bilion dan Bajet 2021 iaitu RM322 bilion.
“Dicadangkan bajet ini menyediakan sebanyak RM272.3 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM95 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
“Selebihnya, RM5 bilion disediakan di bawah Kumpulan Wang Covid-19 manakala RM2 bilion disediakan sebagai simpanan luar jangka,” katanya. – UTUSAN