PETALING JAYA: Bekas Ketua Wira Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman dikatakan dilantik sebagai Ketua Penerangan Warisan yang baharu ketika beliau sudah tidak memiliki sebarang jawatan selepas Perhimpunan Agung Tahunan dan Pemilihan Warisan baru-baru ini.
Pelantikan itu difahamkan dimaklumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam satu Program Jelajah Presiden Warisan di Dewan Terbuka Matunggong, Sabah yang berlangsung tengahari tadi.
Pelantikan bekas ahli Parlimen Sepanggar itu berikutan penyandangnya, Datuk Awang Ahmad Sah dilantik sebagai Bendahari Warisan.
Khabar pelantikan Mohd. Azis dikuatkan lagi dengan perkongsian seorang pengguna Facebook yang dipercayai ahli Warisan, Benny Chiu.
“Seperti yang dijangkakan dan salah satu pilihan yang tepat pihak pimpinan atasan parti yang buat. Tahniah Datuk Mohd Azis Jamman Ketua Penerangan Parti Warisan yang baharu. Datuk Awang Ahmad Sah dilantik menjadi Bendahari Parti Warisan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Azis ketika dihubungi berkata, beliau belum menerima surat pelantikan secara rasmi dan hanya mendengar perkara itu di media sosial.
“Kalau diamanahkan sebagai Ketua Penerangan Warisan, saya akan memikul tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin jika diberi kepercayaan. Tetapi, saya masih belum terima sebarang surat pelantikan, hanya melalui media sosial sahaja,” katanya ringkas.
Mohd. Azis pada Ogos lalu menjelaskan, keputusan tidak mempertahankan jawatan Ketua Wira Warisan dalam pemilihan parti untuk memberi peluang kepada orang baharu.
Jawatan Ketua Wira Warisan kini disandang oleh Ismail Ayub. –UTUSAN