Anwar jelajah kawasan 'pengkhianat' Sabtu ini - Utusan Malaysia

Anwar jelajah kawasan ‘pengkhianat’ Sabtu ini

MOHAMED Hairul Amir Sabri (depan, tengah) pada sidang akhbar mengenai Himpunan Harapan Perak Bangkit di Pejabat PKR Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Beberapa kawasan yang disifatkan ‘mengkhianati’ Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi lokasi tumpuan bagi siri jelajah Himpunan Harapan Perak Bangkit.

Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohamed Hairul Amir Sabri berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyertai beberapa ceramah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau, Sabtu ini.

“Dalam siri jelajah ke beberapa kawasan pengkhianat, beliau (Anwar) membawa mesej bahawa PKR mengecam tindakan mengkhianati mandat rakyat pada pilihan raya lalu.

“Menerusi ceramah itu, beliau memberi amaran keras kepada pengkhianat ini yang mereka harus malu dan bersalah atas perbuatan itu sehingga terjadinya kemelut politik yang menyusahkan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PKR Perak di sini hari ini.

Menurut Mohamed Hairul Amir, selain Anwar, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli juga akan turun ke beberapa kawasan di Perak seperti di Parlimen Tanjung Malim, Tapah, Tambun dan Tualang Sekah.

Katanya, siri Jelajah Ayuh Malaysia itu diadakan pada Sabtu dan Ahad ini.

“PKR Perak yakin PH mempunyai peluang yang cerah untuk menawan semula negeri ini dan Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengecam tindakan Barisan Nasional (BN) yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

Katanya, pembubaran Parlimen ketika ini tidak sesuai memandangkan musim banjir dijangka melanda negara tidak lama lagi.

“Kerakusan UMNO yang gilakan kuasa telah mengenepikan kepentingan rakyat. Pada mereka jawatan dan kuasa adalah perkara yang diperjuangkan sehingga melupakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang perlu diberi keutamaan. Bagaimanapun, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, PKR Perak telah bersedia berentap di gelanggang pada bila-bila masa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya