Anwar Ibrahim setuju tanding Parlimen Tambun? - Utusan Malaysia

Anwar Ibrahim setuju tanding Parlimen Tambun?

anwar
ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir pasti bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sumber dalaman PKR memberitahu Utusan Malaysia, perkara itu hanya menunggu masa untuk diumumkan secara rasmi pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Katanya, pencalonan Anwar di Parlimen Tambun pasti memberi kelebihan dan nilai tambah kepada PH untuk menawan Perak.

“Beliau setuju bertanding di Tambun, ketokohan dan pengaruhnya yang besar memberi kelebihan kepada PH untuk menawan Perak.

“Selain itu, beliau mahu berdepan dengan ‘pengkhianat PH’ di Tambun,” katanya semalam.

Sebelum ini, PKR Perak mempelawa Anwar bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15 dan dalam responnya, Presiden PKR itu berkata, beliau sedia mempertimbang cadangan tersebut.

DAP Perak turut mempelawa Anwar bertanding di kerusi Parlimen negeri ini terutamaTambun yang disifatkannya sebagai kerusi disandang pengkhianat PH apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar PH.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah penyandang kerusi Parlimen Tambun.

Sumber itu berkata, pengundi di Tambun juga memberi maklum balas positif jika Anwar bertanding di Parlimen tersebut.

“Kehadiran Anwar juga mampu menarik undi terutama di kawasan-kawasan majoriti Melayu di negeri ini kepada PH,” katanya.

PH membentuk Kerajaan Negeri Perak selepas PRU14, namun tumbang selepas peralihan kerajaan kepada Perikatan Nasional (PN) pada 2020.

Sementara itu, sumber tersebut berkata, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan bertanding di Parlimen Pandan.

“Beliau bertanding di Parlimen Pandan bukan di Parlimen Tapah seperti yang dikatakan ramai hanya kerana beliau turun mengadakan program di Tapah baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN