(ANALISIS) Siapa calon BN lawan Anwar, Peja di Tambun?

(ANALISIS) Siapa calon BN lawan Anwar, Peja di Tambun?

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA calon Barisan Nasional (BN) yang akan dipilih untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?

Itu persoalan yang hangat diperkatakan selepas Anwar secara rasmi mengumumkan bertanding di Tambun manakala penyandangnya, Ahmad Faizal pastinya akan mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU14.

Ahmad Faizal Azumu

Mingguan Malaysia difahamkan tiga kepimpinan utama UMNO Bahagian Tambun telah dihantar nama mereka untuk dinilai oleh parti sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tambun dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Hulu Kinta dan Manjoi.

Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian, Datuk Aminuddin Md Hanafiah; timbalannya, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz dan naib ketua, Datuk Mazlan Abdul Rahman.

Selepas Anwar mengumumkan bertanding di Tambun, ada pandangan BN wajar mengimport calon luar yang mempunyai nama besar untuk berdepan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dan Ahmad Faizal.

Ketika ini, paling kuat dikaitkan sebagai calon BN di kerusi Parlimen Tambun ialah Aminuddin yang merupakan anak tempatan dan pernah menjadi ADUN Hulu Kinta namun kalah kepada calon PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad pada PRU14.

Difahamkan UMNO Tambun dikatakan awal-awal telah membuat permintaan agar parti tidak meletakkan calon luar bertanding kerana kepimpinan bahagian itu sendiri sudah mencukupi untuk berdepan Anwar dan Ahmad Faizal.

“Tidak perlu calon luar untuk terjun ke Tambun. UMNO bahagian ada kepimpinan sendiri yang boleh menyaingi, mencabar Anwar dan Peja.

“Lagipun sentimen akar umbi menolak calon luar. UMNO Tambun ada maruah yang mahu ditebus, calon anak tempatan sudah cukup untuk UMNO berdepan dua lawan yang mempunyai nama besar.

“Apatah lagi Anwar dan Peja bukan orang tempatan di Tambun,” kata sumber dalaman UMNO.

Begitupun, jika BN membuat pertimbangan lain mahukan juga calon luar, apakah reaksi daripada pengundi dan jentera BN Tambun yang sudah bekerja begitu lama sejak selepas kalah pada PRU14?

Dalam perkara ini, mungkin penerimaannya bercampur-campur, bergantung kepada siapa calon luar yang dipilih pucuk pimpinan BN.

Apa pun, meletakkan calon luar memberikan risiko besar kepada BN kerana calon baharu yang baru hendak bertapak sukar mencari pengaruh dan sukar diterima pengundi tempatan.

“BN kena elak risiko jika mahu meletakkan calon luar di Tambun. BN perlu sensitif dalam hal ini kerana ia melibatkan penerimaan oleh jentera parti, mereka juga adalah pengundi yang telah lama bekerja di kawasan.

“Jika calon tempatan, peluang BN di Tambun untuk menang tetap ada. Jika Aminuddin dicalonkan, beliau dilihat ada kekuatan sebagai calon tempatan, lebih mudah diterima oleh masyarakat dan sudah dikenal,” kata penganalisis politik.

Parlimen Tambun mempunyai antara pengundi paling ramai iaitu lebih 160,000 orang dengan DUN Manjoi mempunyai kira-kira 85,000 pengundi manakala DUN Hulu Kinta sekitar 75,000 pengundi.

Pada PRU14, BN gagal mempertahankan ketiga-tiga kerusi Parlimen Tambun, DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN