PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan hubungan antara Malaysia dan Singapura yang menyeluruh dan simbiotik terus berkembang dan memberikan manfaat kepada kepada kedua-dua negara serta rakyat.
Menurut Istana Negara, perkara itu dizahirkan dalam satu majlis Jamuan Negara di Istana, Orchard Road malam tadi sempena lawatan Seri Paduka ke Singapura.
“Seri Paduka bertitah adalah penting untuk kedua-dua negara bekerjasama di tengah-tengah perubahan landskap geopolitik, geoekonomi dan geostrategik sejagat.
“Seri Paduka juga bertitah Malaysia dan Singapura berkongsi satu hubungan rapat buat sekian lama, berakar umbi serta menyeluruh dan kekuatan hubungan itu terus meningkat.
“Ini dapat disaksikan menerusi peningkatan dagangan Malaysia-Singapura kepada 128 bilion dolar Singapura pada 2021 biarpun berhadapan gangguan dan kekangan akibat pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, hari ini.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka menzahirkan harapan selaku negara pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura seharusnya terus bekerjasama antara satu sama lain serta negara anggota ASEAN lain.
Ia bagi memastikan Asia Tenggara kekal menjadi sebuah rantau yang aman, stabil dan makmur.
Terdahulu, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke majlis makan malam yang turut dihadiri Presiden Singapura, Halimah Yacob dan suami Mohammed Abdullah Alhabshee, malam tadi.
Seri Paduka berdua mengadakan lawatan negara ke republik berkenaan bermula Selasa lepas hingga 28 Oktober ini. – UTUSAN