Abdul Hadi patut jaga adab, sikap

Abdul Hadi patut jaga adab, sikap

KERATAN laporan Utusan Malaysia Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu menjaga adab dalam mengeluarkan kenyataan dengan tidak sewenang-wenangnya melabelkan UMNO dengan pelbagai gelaran dan perumpamaan kerana beliau seorang tokoh agama dihormati.

FATHUL BARI MAT JAHYA

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, nada pemimpin Pas itu sangat berbeza ketika bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN), malah menegaskan supaya mengelak daripada politik fitnah dan kebencian.

Namun, katanya, apabila dua parti itu gagal mencapai kata sepakat menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Abdul Hadi terus menyerang UMNO seolah-olah menggambarkan parti itu jahat.

“Sebagai tokoh agama yang dihormati, kena jaga sikap, adab dan jangan selektif dalam mengeluarkan kenyataan. Dalam kalangan Perikatan Nasional (PN) sendiri ada yang terlibat rasuah, mengapa tidak ditegur.

“Kenyataan Abdul Hadi itu menunjukkan beliau tidak konsisten apabila masa kerjasama dengan UMNO sebelum ini tidak bangkitkan soal ini. Jangan tanamkan sifat kebencian, mana tahu kelak masih ada ruang kerjasama antara dua parti ini.

“Berhentilah dengan tindakan label-melabel ini dan jangan membuat tuduhan kepada orang lain. Ingat serban dan kopiah di kepala itu sebelum bercakap,” kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar itu ketika ditemui di sini, semalam.

ABDUL HADI AWANG

Jumaat lalu, Abdul Hadi menegaskan, parti itu mengambil keputusan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN pada PRU15.

Kata Abdul Hadi, Pas mendapati masih terdapat ‘kekeruhan’ yang membelenggu Barisan Nasional melibatkan beberapa perkara antaranya isu rasuah yang belum selesai.

Fathul Bari berkata, ramai dalam kalangan pimpinan dan akar umbi Pas yang masih menyokong MN iaitu gabungan dua parti terbesar orang Melayu Islam.

“UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu, sama juga situasi Pas menolak bersama Parti Amanah Negara (Amanah). Amanah cuba menggantikan Pas begitu jugalah Bersatu cuba menggantikan UMNO. Pas juga tidak boleh menerima Amanah, begitu jugalah situasi UMNO menolak Bersatu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN