KUALA LUMPUR: Dua aktiviti penyelewengan barang kawalan subsidi minyak masak dengan nilai keseluruhan RM50,587 berjaya ditumpaskan.
Dalam serbuan berasingan pada 12 Oktober lalu itu dilakukan di Taman Bamboo dan Jalan Chow Kit, di sini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsuddin berkata, hasil serbuan itu, lima individu termasuk seorang warga asing ditahan.
Kata beliau, tangkapan itu adalah hasil kerjasama strategik pihaknya selepas menerima dua serahan kes dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sepanjang serbuan itu, sebanyak 955 kotak minyak masak bersubsidi dirampas.
“KPDNHEP Kuala Lumpur akan meneruskan siasatan lanjut ke atas dua kes terbabit untuk mengenal pasti individu atau mana-mana pihak yang terbabit secara langsung di dalam aktiviti sindiket ini,” katanya dalam sidang akbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, siasatan mendapati kedua-dua sindiket itu mendapatkan bekalan minyak masak dari negeri lain sebelum dikumpulkan di ibu kota.
“Sindiket akan mengumpulkan minyak masak paket ke dalam tong sebelum dijual semula kepada industri dengan harga sekali ganda dari harga subsidi,” katanya.
Tambah Ariffin, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki berurusan (menyimpan) barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi tanpa memiliki lesen yang sah. – UTUSAN