20 pasukan rebut kejuaraan sulung Kronos Tranung Junior Cup 

20 pasukan rebut kejuaraan sulung Kronos Tranung Junior Cup 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 20 pasukan bola sepak mengesahkan penyertaan dalam kejohanan Kronos Tranung Junior Cup kategori usia bawah 12 tahun di Padang KTC Arena, Batu Buruk, Terengganu pada 29 Oktober ini.

Kejohanan julung kali itu dianjurkan Kronos Tranung Soccer Akademi (KTSA) yang mula beroperasi Mei lalu dengan kerjasama Sport Paragon dan KTC Arena.

Duta Kronos yang juga penaung KTSA, Mohd. Yusran Mat Sharif berkata, kejohanan berkenaan melibatkan lebih 260 pelatih berusia bawah 12 tahun terdiri daripada akademi-akademi bola sepak di Terengganu serta negeri-negeri jiran. 

“Cetusan idea penganjurannya adalah hasil pemerhatian dan perbincangan  terhadap kejohanan akar umbi di Terengganu yang kurang kompetitif. 

“Objektif  utama kejohanan adalah untuk pembangunan bakat-bakat muda di negeri Terengganu khasnya dan secara amnya adalah melatih kemahiran pembangunan bola sepak pemain-pemain di peringkat akar umbi,” katanya semalam.

Selain tuan rumah, antara pasukan terlibat ialah Terengganu Football Club Academy, Temerloh Viper, Katangg FC, Lions FC dan Kuantan Tigers.

KTSA yang mula beroperasi Mei lalu adalah sebuah akademi dikendalikan jurulatih-jurulatih diiktiraf Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berpengalaman dalam melatih kanak-kanak seawal usia enam tahun untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan berkualiti. 


MOHD. YUSRAN MAT SHARIF

Menurut Mohd. Yusran, penganjuran kejohanan itu bukan sekadar mencari juara atau pemenang tetapi mendedahkan suasana pertandingan yang sihat, mampu menyerlahkan semangat juang serta mengaplikasikan kemahiran asas tinggi untuk mencapai kejayaan.

“Kita juga bermatlamat jika ada pasukan yang memenangi tempat pertama atau mana-mana pemain berbakat, mereka dapat mara ke peringkat lebih tinggi seperti mewakili negeri, antarabangsa dan lain-lain. Mungkin dari situ,  ada mana-mana akademi yang berminat dan bawa mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Katanya, selaku penganjur kejohanan, pihaknya berharap  penganjuran pertama kali ini dapat berlangsung dengan jayanya dan semua pelatih menunjukkan semangat berpasukan tinggi, berdisiplin serta menghormati pihak lawan tanpa provokasi untuk menjadi pemain bola sepak berjaya. 

“Harapan saya semoga kejohanan ini berjalan lancar dan sedikit sebanyak membantu mencungkil bakat-bakat baharu dari peringkat awal. 

“Sokongan daripada semua akademi bola sepak swasta juga memainkan peranan yang penting untuk melahirkan pemain-pemain yang berkualiti melalui pendedahan kepada perlawanan-perlawanan bola sepak,” ujarnya.

Tambahnya, gerai jualan  Kronos turut dibuka sepanjang kejohanan yang menawarkan barangan sukan dengan harga menarik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.