fbpx

Ahmad Zahid Hamidi lepas bebas daripada 40 pertuduhan rasuah

AHMAD ZAHID HAMIDI mengangkat tangan tanda syukur dan gembira selepas dilepas dan dibebaskan di atas 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Presiden UMNO berkenaan.

Pada 26 Jun 2019, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem VLN.

Bagaimanapun, pada 31 Julai 2019, mahkamah membenarkan permohonan Ahmad Zahid bagi memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama-sama 33 lagi pertuduhan rasuah membabitkan VLN.

Kesemua kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan bersama.

Ahmad Zahid, 69, didakwa terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada syarikat UKSB sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid turut didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc; dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid dituduh melakukan perbuatan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani.

Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Datuk Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!