PETALING JAYA: Kementerian Luar (Wisma Putra) diminta untuk tidak terus berdiam diri berhubung isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan yang jelas mencabul kedaulatan negara ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Alwa Dris berkata, Malaysia sebagai negara kecil ketika ini mesti berani menyatakan pendirian berikutan pelbagai spekulasi yang timbul sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, Wisma Putra tidak harus mengambil sikap berdiam diri berhubung isu itu kerana ia hanya meningkatkan lagi kebimbangan rakyat di Sabah dan Sarawak yang berdepan pencerobohan itu.
“Wisma Putra harus lebih tegas dalam menangani isu pencabulan kedaulatan negara ketika ini. Kita tidak sesekali berkompromi dalam perkara yang mencabul kedaulatan negara kerana pendekatan itu sahaja boleh memberi peringatan kepada yang lain.
“Isu ini juga sudah banyak kali dibangkitkan oleh wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun isu itu bukannya selesai malah terus berlarutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Alwa, sudah tiba masanya tindakan diambil bagi menangani isu tersebut, dan bukannya terus berdiam diri hanya kerana mahu menjaga hati segelintir pihak.
Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula 2016 hingga 2019.

CNN pernah melaporkan Kementerian Luar China menggambarkan latihan ketenteraannya di Laut China Selatan diadakan dalam wilayah negaranya.
Sementara itu, ADUN Kota Dun Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin pula berpendapat, nelayan yang terlibat dengan isu tersebut juga semakin tertekan atas tindakan yang diamalkan Wisma Putra itu.
Katanya, ini kerana mata pencarian mereka terjejas dengan adanya aktiviti latihan ketenteraan di Laut China Selatan sehingga perlu berpatah balik.
“Ada juga kisah nelayan kita terpaksa beralih arah ke kawasan perikanan laut bergelora dan tidak begitu sesuai dengan kapasiti bot memandangkan tempat kebiasaan mereka kini ada banyak kapal peronda atau adanya latihan ketenteraan.
“Terdapat juga dakwaan datang pula nelayan haram dari China lakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratley ini. Apakah ini semua tidak membimbangkan kita semua? Kedaulatan kita di ceroboh, rakyat kita hilang mata pencarian. Jangan diam diri yang akhirnya akan mudaratkan kita.
“Mengapa kita berdiam lagi, kita perlu lakukan sesuatu untuk tangani ini dengan segera. Setiap negara ada kedaulatan yang perlu dijaga dan dihormati bukan begitu? Kita bukan hendak bergaduh atau lakukan provokasi sebaliknya tindak tanduk buli ini jangan kita biarkan,” tegasnya. – UTUSAN










