PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah mengingatkan warga Malaysia agar membuat semakan dengan Kedutaan Besar Mesir di Kuala Lumpur sebelum ke negara tersebut.
Menerusi hantaran dalam laman sosial pejabat misi diplomatik itu, ia memaklumkan pihaknya sedar ada agensi tertentu menawarkan perkhidmatan visa untuk memasuki Mesir.
“Kedutaan Besar Malaysia malahan menyedari terdapat ejen yang berbuat demikian atas tujuan tertentu dan dalam hal ini menasihatkan supaya menyemak visa terlebih dahulu,” katanya.
Meskipun tidak dinyatakan secara terperinci, hantaran itu dipercayai merujuk kes seorang mahasiswa Malaysia di Universiti Al-Azhar yang ditahan oleh pihak berkuasa Mesir baru-baru ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bagaimanapun melalui kenyataan rasmi semalam mengesahkan penuntut tersebut sudah berjaya dibebaskan pada petang Sabtu lalu.
Dianggarkan ada lebih 7,000 pelajar Malaysia menuntut di Universiti Al-Azhar, sebuah institusi pengajian tinggi terulung dunia Islam sejak diasaskan Khalifah Fatimiyah pada 972 Masihi.
Lebih 60,000 pelajar asing menuntut di 24 buah universiti awam dan 26 universiti swasta di seluruh Mesir selepas negara itu membenarkan institusi luar membuka cawangan pada 2017.
Negara majoriti Islam di rantau Afrika Utara itu menjadi pilihan kerana yuran pengajian setiap semester yang murah dari serendah 8,000 pound (RM1,880) hingga 12,000 pound (RM2,820).
Mengulas lanjut, Kedutaan Besar Malaysia berkata, rakyat Malaysia dinasihatkan merujuk dengan pihak Kedutaan Besar Mesir di ibu negara terlebih dahulu sebelum bertolak.
“Langkah berwaspada sebegini demi memastikan segala peraturan dan isu prosedur untuk permohonan visa ke Mesir adalah tepat dan teratur khususnya bagi pelajar universiti,” jelasnya.
Hantaran tersebut turut dikongsi bersama oleh Pejabat Education Malaysia Egypt, Majlis Perundingan Mahasiswa Malaysia Mesir dan Persatuan Pelajar Sains Kesihatan Malaysia Mesir.
Kerajaan Mesir sejak 2017 lalu meletakkan Malaysia dalam senarai lebih 70 negara yang boleh memohon visa secara atas talian atau e-Visa tanpa perlu pergi ke kedutaan.
Proses berkenaan yang lengkap dengan tempoh tamat sah laku pasport lebih enam bulan hanya mengambil masa 20 minit sebelum kelulusan visa dimaklumkan melalui e-mel pemohon.
Pihak imigresen Mesir mengenakan caj sekitar RM316 seorang bagi pemprosesan normal untuk tiga hari bekerja dengan bayaran itu boleh dijelaskan menerusi kaedah elektronik terpilih.
Visa yang sudah siap kemudian boleh diambil di Kedutaan Besar Mesir di No.15, Jalan Ru off Jalan Ampang Hilir, Desa Pahlawan, Kuala Lumpur dan dihubungi telefon 03-42568184. – UTUSAN










