PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengesan penipuan terbaharu yang mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit dengan muat turun aplikasi menerusi fail Kit Pakej Android (APK) sehingga ‘menyedut’ wang mangsa.
Ini susulan penahanan lima individu berusia antara 17 hingga 21 tahun dipercayai anggota sindiket penipuan berkenaan pada 24 Ogos lalu di ibu negara.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, individu warga tempatan terdiri dari tiga lelaki dan dua wanita itu menjerat mangsa menerusi laman sembang (Chatting App) yang terkenal.
Katanya, mereka mencipta akaun palsu dan akan berkenalan dengan individu yang menjadi sasaran mereka.
“Mangsa yang ingin berkenalan dengan lebih rapat akan ditawarkan untuk melihat gambar dan video mereka menerusi aplikasi lain yang akan dihantar melalui fail APK.
“Mangsa juga diminta untuk membuat pembelian token sebelum boleh mengakses aplikasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Tambahnya, aplikasi yang dimuat turun akan mengakibatkan berlaku transaksi pengeluaran wang dari akaun mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan, perkaitan antara sindiket ini dengan kes penipuan lain yang sama masih dalam siasatan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan seperti tidak memuat turun fail APK yang dihantar oleh individu tidak dikenali.
“Pengguna juga diminta untuk mengelakkan memuat turun aplikasi APK dari sumber tidak sah dan keselamatan sistem pesanan ringkas (SMS) hendaklah dipelihara kerana akan menerima kod pengesahan (OTP) daripada pelbagai aplikasi di telefon pintar,” katanya.- UTUSAN