PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad menasihatkan rakyat negara ini supaya mengelak kawasan terjejas teruk dengan tragedi banjir besar di sebahagian Pakistan.
Menurut kenyataan pejabat perwakilan diplomatik tersebut menerusi laman sosial rasminya, zon bencana berkenaan termasuk di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Sindh dan Balochistan.
“Jika anda berada di Pakistan pada masa ini, sila jauhi lokasi itu serta sentiasa berwaspada dan memantau berita domestik semasa selain laporan cuaca terkini,” jelas hantaran tersebut.
Rakyat Malaysia juga diminta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan kerana banyak perkhidmatan penting kecemasan dan pengangkutan awam yang kemungkinan masih terjejas.
Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah merakamkan ucapan takziah ketika menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia, Amna Baloch.
Kerajaan Malaysia menyatakan sokongan berterusan terhadap usaha bantuan, penyelamatan, pemulihan dan pembinaan semula Pakistan yang masih lagi dilanda musibah banjir dahsyat.
Setakat ini, lebih 1,500 penduduk maut akibat banjir itu sejak 14 Jun lalu manakala hampir 13,000 orang cedera selain lebih 630,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Nasional merekodkan 1.5 juta kediaman musnah serta hampir 740,000 ternakan mati dengan nilai kerugian 2.2 trilion rupee (kira-kira RM45 bilion).
Banjir paling teruk dalam sejarah Pakistan itu menyaksikan satu pertiga negara rantau Asia Selatan itu tenggelam malahan menjejaskan kehidupan harian 33 juta penduduknya sendiri.
Mengulas lanjut, Suruhanjaya Tinggi Malaysia berkata, meskipun ada kawasan telah surut bah, terdapat risiko penyakit bawaan air serta jangkitan demam denggi adalah sangat tinggi.
“Kemudahan rawatan masih terhad dan kami menasihatkan agar sebarang perjalanan tidak penting seperti pelancongan ditangguhkan sehingga keadaan kembali pulih,” jelasnya lagi.
Pejabat berkenaan menambah, bahawa Pakistan ketika ini masih mengalami hujan monsun tidak normal dengan taburan direkodkan hampir tiga kali ganda daripada purata 30 tahun lalu.
Keadaan tersebut mengakibatkan kes banjir kilat dan tanah runtuh tidak terkawal melibatkan sejumlah 116 daerah daripada keseluruhan 160 daerah yang terdapat di negara berkenaan.
Sistem perhubungan telefon dan jaringan internet ujarnya, turut dibimbangi terjejas ekoran kerosakan kabel bawah tanah selain 3,500 kilometer jalan dan 157 jambatan telah musnah.
Rakyat Malaysia yang berdepan masalah, boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia menerusi e-mel [email protected] atau talian kecemasan khas +0344 855-5590. –UTUSAN