fbpx

Wang RM90.9 juta masuk akaun peribadi Najib

NAJIB Tun Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB. - UTUSAN/SHIDDIEQQOIN ZON

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, akaun AmIslamic Bank Berhad milik Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kemasukan wang berjumlah RM90.9 juta melibatkan dua transaksi pada 2012.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 43, berkata, sebanyak RM15,149,963.64 dimasukkan ke dalam akaun bekas Perdana Menteri pada 31 Oktober manakala RM75,749,963.64 pada 20 November 2012.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Dalam penyataan pembukaan pada 2019, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Najib yang bertindak melalui ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengambil langkah tertentu menyebabkan 1MDB terlibat dalam dua transaksi di mana tertuduh memperoleh sejumlah RM90,899,927.28.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-37 itu dirujuk kepada penyata akaun bekas Perdana Menteri melibatkan akaun peribadinya yang berakhir dengan nombor 694.

Uma Devi berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1.5 juta dibayar kepada Centre for Glocal Concerns, Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. (RM488,100) dan Pergerakan Wanita UMNO Selangor (RM1.5 juta).

Ujarnya, selain itu Yayasan Rahah turut menerima wang RM2 juta, Badan Perhubungan UMNO Pahang (RM760,000), MCA Selangor Liason Committee (RM1 juta) dan Solar Shine Sdn. Bhd. (RM4 juta).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN