UUM bantu tingkat kecemerlangan pelajar luar bandar

UUM bantu tingkat kecemerlangan pelajar luar bandar

HAIM HILMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah melancarkan program UUM Membina Kesejahteraan Rakyat (Mekar) 2022 bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar luar bandar.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, melalui program itu, hampir 4,500 pelajar tingkatan empat dan lima di semua daerah dalam negeri ini akan dibantu dari aspek akademik, pembangunan diri dan kemahiran insaniah.

Menurutnya, kesemua mereka yang belajar di 16 sekolah dalam negeri ini, akan dibantu oleh 16 pusat pengajian dan inapan siswa (Inasis) UUM dalam aspek tersebut.

“Fokus utamanya adalah pada cuti semester pada Jun hingga September. Ketika itu kampus UUM kosong dan kita akan bawa pelajar ini ke universiti agar mereka dapat merasai suasana belajar di kampus.

“Dalam masa sama, ada juga program sepanjang tahun yang disusun untuk dilaksanakan pensyarah serta pelajar UUM. Di kampus ini kita ada 20,000 pelajar dan mereka akan digerakkan ke sekolah-sekolah terlibat untuk menjalankan program serta aktiviti berkaitan akademik, kokurikulum dan pembangunan jati diri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian pelancaran program tersebut oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kampus UUM di Sintok, di sini, hari ini.

Antara sekolah yang terpilih mengikuti program tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, SMK Hosba, SMK Sungai Tiang, SMK Padang Serai dan SMK Selama.

Mengulas lanjut kata Haim Hilman, UUM melalui program itu turut mengisytiharkan 34 buah kampung berhampiran institusi pengajian tinggi tersebut sebagai kampung angkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN