KOTA KINABALU: Parti politik yang berpangkalan di Sabah, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) melihat kemungkinan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, Perak, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
DUN Chenderiang disandang oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pertimbangan itu dibuat kerana terdapat permintaan daripada pemimpin bahagian di Perak supaya mereka bertanding sekurang-kurangnya satu kawasan di peringkat negeri.
“Ada juga permintaan pemimpin UPKO di sana, jadi, kami sudah menyampaikan hasrat bertanding kepada pucuk pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk berbincang bersama.
“Chenderiang mempunyai pengundi terdiri daripada Orang Asli yang besar,” katanya ketika dihubungi semalam.
UPKO sebelum ini pernah menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) namun meninggalkan gabungan itu selepas PRU14 dan memilih bersama PH, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam persiapan menuju pilihan raya umum tidak lama lagi.
UPKO sudah bertapak di empat kawasan Parlimen di Perak iaitu Tanjung Malim, Kampar, Tapah dan Gopeng yang 99 peratus daripadanya terdiri daripada komuniti Orang Asli selain pernah mempunyai cawangan di Shah Alam namun tidak aktif.
Penubuhan bahagian UPKO di Semenanjung khususnya Perak kerana Orang Asli sebelum ini mempertimbang sama ada mahu membentuk parti politik baharu atau sedia ada, kemudian memutuskan menyertai UPKO kerana fokusnya menjurus kepada ‘orang asal’.
Mengulas lanjut, Wilfred berkata, beliau hampir menyelesaikan kesemua senarai calonnya yang akan bertanding di Sabah pada PRU-15, namun, perincian calon-calon tersebut belum didedahkan. – UTUSAN
Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang:
Calon Parti Undian
Ahmad Faizal Azumu Bersatu 7,662 (33.90%)
Chong Shin Heng MCA 7,623 (33.70%)
Nordin Hassan Pas 1,735 (7.70%) – UTUSAN
——————————————————————————————————————–










