UMNO rugi jika Khairy tidak jadi calon PRU15 - Utusan Malaysia

UMNO rugi jika Khairy tidak jadi calon PRU15

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO bakal kerugian sekiranya nama Khairy Jamaluddin tidak terpilih calon mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan, Khairy dilihat sebagai personaliti yang boleh memberi keseimbangan untuk menarik pengundi khususnya kumpulan belia 18 tahun dan pengundi kali pertama.

Katanya, perubahan demografi pengundi pasca Undi18 ini dilihat cukup dinamik manakala Menteri Kesihatan itu mempunyai aura tersendiri yang boleh mengekalkan momentum kemenangan buat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Seperti manusia lain juga, Khairy tidak sempurna tetapi saya yakin keupayaan dan kebolehan beliau sebagai seorang pemimpin akan terus menjadi aset politik yang cukup penting untuk kemenangan parti dalam PRU-15 akan datang ini.

“Pengumuman Khairy membayangkan senario kes terburuk tidak bertanding pada PRU15 dilihat sebagai satu kerugian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Khairy dalam satu program di ibu negara semalam dilaporkan mengakui bakal ‘berpindah’ dari Parlimen Rembau selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhasat untuk bertanding di situ.

Beliau menambah, akan mencari kawasan lain yang mahukannya tetapi sehingga kini masih belum dipastikan lagi kawasan mana yang akan ditandingi.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu juga akur, sekira namanya tidak dicalonkan UMNO untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15 akan datang.

Dalam pada itu, Reezal Merican mengakui Khairy agak lantang memberikan sudut pandang atau perspektif yang agak berbeza namun ia tidak bermakna pandangan beliau betul semuanya atau salah semuanya.

Beliau mengenali Khairy secara peribadi sejak bersama bergiat aktif dalam pergerakan Pemuda UMNO dan semua dapat melihat beliau mempunyai kebolehan tersendiri untuk penyampaian serta melunaskan tanggungjawab dengan baik.

“Saya juga melihat bagaimana Khairy sebagai seorang rakan menteri yang sering memberi hujah-hujah bernas di dalam mesyuarat Kabinet.

“Kepimpinan beliau juga diiktiraf di peringkat antarabangsa hingga membolehkan beliau dipilih sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 pada Mei lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya