fbpx

Ukiran kayu Rosman jadi cenderahati Ratu Elizabeth II

KERIS dan tapak ukiran yang dihasilkan Rosman Talib sebagai cenderahati Kerajaan Malaysia kepada Ratu Elizabeth II.

PASIR PUTEH: Seorang pengukir kayu dari Kampung Raja Dagang, Pasir Puteh Kelantan berbangga apabila ukiran yang dihasilkan di kepala dan sarung keris serta tapaknya meletakkan senjata Melayu itu dipilih oleh kerajaan untuk diberikan kepada mendiang Ratu Elizabeth II kira-kira 24 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Rosman Talib, 57, berkata, keris tersebut dihadiahkan oleh Kerajaan Malaysia kepada mendiang baginda semasa menyempurnakan Temasya Sukan Komanwel ke-16 pada 21 September 1998.

Menurutnya, sebaik sahaja mengetahui keris tersebut mahu dihadiah kepada mendiang baginda, dia menjunjung tinggi amanah tersebut dan melakukan kerja-kerja ukiran dengan penuh teliti.

“Apa yang membanggakan saya apabila menyaksikan senjata Melayu itu dapat berada di istana Raja England.

“Bagi saya ia secara tidak langsung dapat mengangkat seni ukiran Melayu di pentas dunia dan kenangan dapat berbuat demikian akan dikenang sepanjang hayat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Raja Dagang, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, anak kelahiran negeri Hang Tuah itu yang kini menetap di Kelantan sedang menyiapkan karya terbarunya iaitu papan congkak gergasi dengan ukiran kepala burung yang masih dalam 80 peratus siap. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN