TPR serah semua kertas siasatan kebocoran penghakiman Najib, Rosmah kepada polis - Utusan Malaysia

TPR serah semua kertas siasatan kebocoran penghakiman Najib, Rosmah kepada polis

KERTAS siasatan membabitkan kes kebocoran keputusan penghakiman Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor diserahkan semula kepada pihak polis untuk dilengkapkan bagi tindakan selanjutnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan kes kebocoran keputusan penghakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor diserahkan semula kepada pihak polis untuk dilengkapkan bagi tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 30 Ogos lalu dan semalam.

Bagaimanapun, ia dikembalikan semula berikutan TPR mahu polis melengkapkan beberapa perkara.

“Kita akan melengkapkan kertas berkenaan secepat mungkin dan jika ada keperluan kemungkinan keterangan kesemua saksi sebelum ini akan diambil semula.

“Setakat ini, sebanyak 27 saksi telah diambil keterangan iaitu 17 individu membabitkan kebocoran keputusan penghakiman Najib dan 10 lagi membabitkan Rosmah,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar di sini hari ini.

Azmi berkata, siasatan yang dilakukan kali ini akan diberi fokus terhadap tindakan-tindakan yang dinasihatkan oleh TPR kepada polis.

“Kita akan lengkapkan kedua-dua kertas siasatan berkenaan dan rujuk semula dalam masa terdekat,” jelasnya.

Minggu lalu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai memberitahu, antara saksi yang telah diambil keterangan iaitu pegawai mahkamah untuk membantu siasatan ke atas dakwaan ‘draf penghakiman’ bocor mengenai kes rasuah Rosmah.

Kenyataan itu diambil daripada kakitangan bahagian penyelidikan mahkamah dan Hakim Zaini Mazlan, yang mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan, semalam, membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Pada 29 Ogos lalu, blogger Raja Petra Kamarudin berkongsi dokumen itu di laman webnya dengan mendakwa bahawa keputusan penghakiman yang mendapati isteri bekas Perdana Menteri itu bersalah telah pun ditulis.

Dalam perkembangan berasingan, kata Azmi, kertas siasatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang didakwa memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad telah hampir dilengkapkan.

“Sebaik sahaja kertas siasatan itu dilengkapkan ia akan dirujuk kepada TPR minggu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN