TLDM sertai eksesais ketenteraan berskala besar

TLDM sertai eksesais ketenteraan berskala besar

SEBAHAGIAN anggota yang menyertai Eksesais KAKADU 2022 di Darwin, Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekali lagi menyertai eksesais berskala besar di peringkat antarabangsa tahun ini iaitu Eksesais KAKADU 2022 (KA22) di Darwin, Australia.

Eksesais selama 15 hari itu yang bermula Isnin lalu adalah selepas penyertaan TLDM dalam Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 di Hawaii, Amerika Syarikat, Ogos lepas yang melibatkan kapal jenis korvet iaitu Kapal Diraja (KD) Lekir.

Kali ini TLDM menghantar kapal jenis frigat, KD Lekiu yang merupakan penyertaan kali kedua bagi kapal tersebut dan kelima bagi TLDM sejak 2001.

TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan, KD Lekiu memulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan TLDM Lumut pada 23 Ogos lepas dan tiba di Darwin Isnin lalu.

“Pelayaran KD Lekiu ke Darwin membuktikan kemampuan TLDM untuk turut serta dalam latihan ketenteraan terbesar Australia yang melibatkan negara-negara rantau Indo-Pasifik,” kata angkatan itu dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, KD Lekiu turut terlibat dalam Eksesais MALINDO JAYA 26/22 di Surabaya, Indonesia minggu lalu.

“Pelbagai aktiviti dirancang dalam eksesais itu yang bukan sahaja melibatkan latihan ketenteraan tetapi menekankan aspek kerjasama, kepemimpinan dan persahabatan di antara negara yang terlibat,” ujarnya.

Kelmarin, katanya, KD Lekiu turut terlibat dalam latihan penembakan meriam dan berjaya mengenai sasaran.

Sementara itu Panglima Tentera Laut Australia, Mark Hammond ketika berucap pada pembukaan eksesais tersebut berkata, Eksesais Kakadu menyediakan peluang yang sangat baik untuk rakan serantau menjalankan aktiviti maritim multinasional merangkumi operasi penguatkuasaan hingga kepada peperangan maritim bertaraf tinggi dalam persekitaran gabungan.

KA22 adalah eksesais dwi tahunan anjuran Australia diketuai Tentera Laut Diraja Australia dan dibantu Tentera Udara Diraja Australia yang melibatkan negara-negara Indo-Pasifik dengan melibatkan seramai 3000 peserta, 15 kapal dan lebih daripada 30 pesawat dari 20 buah negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya