PETALING JAYA: Tiga lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam pergaduhan di pusat hiburan, di Jalan Tun Razak hingga menyebabkan seorang warga asing cedera parah, Jumaat lalu.
Pihak polis menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada pukul 4.54 pagi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut melibatkan sekumpulan lima hingga enam lelaki tempatan serta warga asing manakala mangsa adalah lelaki warga Australia.
Katanya, mangsa dipukul secara beramai-ramai dan salah seorang daripada suspek menggunakan objek dipercayai senjata tajam sehingga mendatangkan kecederaan pada mangsa.
“Mangsa cedera di leher, badan dan telapak tangan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
“Mangsa kini dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pihak polis menahan tiga suspek lelaki berusia 20 hingga 30 tahun bagi membantu siasatan.
“Semua suspek direman selama empat hari bermula sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Kita masih mengesan suspek lain yang masih bebas dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222,” katanya. – UTUSAN










