JOHOR BAHRU: Polis nafi berlaku kejadian penculikan seorang kanak-kanak lelaki di sebuah pusat tuisyen seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil semakan yang dibuat mengesahkan mesej tular tersebut adalah palsu dan tiada sebarang laporan polis yang dibuat berkaitan kes culik tersebut.
Hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak berusia sembilan tahun itu berada di rumah bersama-sama bapanya.
“Hal ini dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.
“Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.
Mesej yang turut tular dalam platform media sosial mengatakan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu diculik di sebuah pusat tuisyen, Rabu lalu.
Kanak-kanak itu dilihat kali terakhir bercakap dengan seorang wanita sebelum membawa menaiki sebuah kereta dan melarikan diri.
Ibu bapa terlalu terkesan dengan kejadian ini dan enggan berkongsi maklumat setelah membuat laporan polis pada hari yang sama.
Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan menyebarkan dakwaan sedemikian yang diperoleh daripada sumber tidak sahih. – UTUSAN










