Tiada jualan dadah di Pasar Bisik-Bisik Kuala Muda

Tiada jualan dadah di Pasar Bisik-Bisik Kuala Muda

ORANG ramai, pemborong serta peraih ikan berurusan dengan nelayan di Pasar Bisik-Bisik Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah.- UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda menegaskan Pasar Bisik-Bisik di situ masih beroperasi sepenuhnya sebagai tempat nelayan memasarkan dan menjual ikan kepada orang tengah atau pemborong, bukan sebagai pusat jualan dadah.

Timbalan Pengerusinya, Ismail Othman berkata, sejak pasar itu dibuka lebih 50 tahun lalu, pihaknya berperanan menjaga kredibiliti dan popularitinya selain mengawasi pasar itu agar tidak diambil kesempatan untuk digunakan khususnya membabitkan penjualan dadah.

“Kita akui memang terdapat penagih dadah di kawasan ini dan golongan ini menjadikan hutan serta beberapa kawasan tepi pantai sebagai port mereka. Namun, Pasar Bisik-Bisik ini dikendali dan dikawal sepenuh masa termasuk menyediakan pengawal keselamatan bagi memastikan ia tidak disalah guna,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Akhbar ini melaporkan, populariti pasar berkenaan didakwa menarik perhatian penagih dadah tegar untuk ‘cari makan’ di situ dengan membantu nelayan menguruskan hasil tangkapan seperti membawa ikan dari bot ke kawasan pelantar dan pasar.

Kehadiran komuniti penagih itu kemudian mengundang kemunculan tokan dadah ke kawasan tersebut yang mundar-mandir dengan kenderaan mewah pada lewat malam untuk mengedar dadah.

Menurut Ismail, Pasar Bisik-Bisik adalah nadi ekonomi penduduk setempat yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan selain menjadi tumpuan peniaga luar untuk memasarkan buah-buahan, pakaian dan keperluan harian lain.

“Kita juga tidak pernah menghalau penagih dadah yang berkeliaran di kawasan ini sebaliknya memberi peluang mereka mencari rezeki dengan membantu nelayan mengurus hasil tangkapan seperti membawa ikan dari bot ke pasar, mengangkut air atau air batu serta membawa ikan ke kenderaan pemborong.

“Malah ada antara mereka yang kebanyakan penagih daripada luar daerah ini diupah oleh persatuan untuk mencuci kawasan pasar sebaik sahaja selesai urus niaga di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya sering melakukan operasi menangkap penagih di kawasan itu dalam usaha mengekang aktiviti tidak sihat membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Operasi dilakukan secara berkala kerana kawasan itu dan sekitarnya memang dikenali sebagai port penagih. Malah pelbagai program turut diadakan bersama penduduk untuk memberi kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah,” katanya.

Seorang nelayan, Mat Tahir Abu, 43, pula berkata, sepanjang pengetahuannya, tiada aktiviti membabitkan jualan dadah dikesan berlaku di situ.

“Memang terdapat ramai penagih di sini tetapi mereka juga tidak pernah mencuri peralatan kami kerana terdapat pengawal. Mungkin mereka ada cara sendiri untuk mendapatkan bekalan dadah, tetapi tidak dilakukan secara berbisik seperti jualan hasil tangkapan laut di sini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang aktivis masyarakat, Datuk Derbar Raja Husaini Derbar Raja Yaacob berkata, masalah penyalahgunaan dadah bukan sahaja berlaku di situ tetapi membabitkan kawasan lain yang perlu ditangani semua pihak.

“Usaha persatuan nelayan menjaga dan mengekalkan populariti kawasan itu cukup baik di samping operasi berterusan pihak polis membolehkan Pasar Bisik-Bisik ini bertahan sebagai nadi ekonomi penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya