Tiada isu lobi ahli UMNO ke UNGA

Tiada isu lobi ahli UMNO ke UNGA

Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) akan diadakan 21 September ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tiada isu melobi yang perlu dicanangkan terhadap senarai pemimpin UMNO yang menyertai rombongan Perdana Menteri ke Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 21 September ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Negara, Datuk Jefridin Atan berkata, penglibatan beliau dalam rombongan itu atas kapasiti Senator dan bukan sebagai Ketua Bahagian UMNO Tanjung Piai seperti yang ditularkan sesetengah pihak.

Malah beliau menjelaskan, ia tidak mempunyai kaitan usaha mengambil hati Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kononnya dibangkitkan pihak tertentu memandangkan kehadiran ke Amerika Syarikat (AS) mempunyai asas kukuh.

“Kebetulan saya Ketua Bahagian dan pada masa Senator, jadi ramai cakap saya ke UNGA kerana usaha lobi-melobi sedangkan ia perkara biasa sejak dahulu apabila Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara terlibat dalam rombongan ke luar negara.

“Malah segala penginapan ditanggung oleh Dewan Negara atas kapasiti dan kelayakan saya sebagai Senator, bukannya dibayar oleh Perdana Menteri dengan kononnya mengambil hati ketua-ketua bahagian UMNO,” katanya.

Terdahulu, tular senarai nama dalam kalangan pemimpin UMNO yang menyertai delegasi Perdana Menteri ke AS bagi menghadiri UNGA pada hujung September ini.

Antara 10 pemimpin UMNO yang disebut dalam senarai itu adalah empat Ahli Dewan Rakyat dan beberapa nama yang menjawat jawatan di peringkat kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam pada itu, Jefridin menjelaskan, beliau dan delegasi akan menyertai pertemuan dua hala selain menyaksikan ucapan Perdana Menteri dalam UNGA sepanjang berada di AS.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dikaitkan dalam senarai itu pula menafikan pembabitkan beliau dalam delegasi Perdana Menteri ke UNGA.

“Tidak benar senarai itu, entah mana dapat,” kata Setiausaha Agung UMNO itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN